Anda di sini

Tindakan sewajarnya akan dikenakan terhadap polis rotan remaja: Zaini 

Advertisement
ZAINI JASS
ZAINI JASS

KOTA KINABALU: Pihak atasan PDRM tetap akan memberikan tindakan sewajarnya di peringkat jabatan terhadap pegawai polis yang merotan lima remaja lelaki di Kunak baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata jika dilihat dari sudut penguatkuasaan tindakan pegawai itu memang tidak wajar, namun dari segi moral ianya sebagai pengajaran kepada kumpulan remaja terbabit kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kejadian berlaku di Kampung Pangi Tengah Kunak semasa pasukan polis membantu menyalurkan bantuan kepada penduduk kampung sebelum terserempak dengan kumpulan remaja yang sedang menghisap rokok.

“Polis kemudiannya memberikan teguran sehingga dua kali tetapi mereka tetap tidak bersurai dan mentertawakan anggota polis terbabit dan tidak berganjak dari sana,” katanya.

Beliau berkata selepas selesai mengagihkan bantuan, pasukan polis terserempak kembali dengan kumpulan remaja terbabit menyebabkan pegawai polis itu mengambil rating berdekatan lalu merotan kumpulan remaja berkenaan.

Tambahnya kumpulan remaja itu bernasib baik kerana pihaknya memberikan peluang kedua dengan memberikan nasihat dan tidak mengenakan sebarang tindakan penahanan terhadap mereka.

“Walaupun niat pasukan polis itu baik namun ianya tidak mematuhi piawaian serta prosedur standard operasi (SOP) sedia ada, kita akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pegawai ini,” katanya.

Video berdurasi 26 saat itu mula disebarkan sejak kelmarin dan mendapat banyak reaksi daripada netizen dengan rata-ratanya memuji ketegasan anggota polis itu menjalankan tugas.

  • oleh
  • Advertisement