Anda di sini

Rakyat bersyukur dengan keprihatinan kerajaan: UMNO Sabah

Advertisement
YAKUB KHAN
YAKUB KHAN

KOTA KINABALU: Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini merupakan suatu tindakan yang berani dalam usaha kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) itu membela nasib rakyat tatkala dilanda wabak COVID-19 yang meletakkan negara dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan (gambar) melahirkan keyakinan bahawa pakej ini adalah pakej yang betul-betul menjiwai rakyat dan rakyat bersyukur atas keprihatinan kerajaan tersebut.

“Biarpun usia kerajaan PN masih terlalu muda namun barisan Kabinet di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Sri Muhyiddin Yassin cukup berpengalaman untuk memastikan apa yang terbaik untuk rakyat.

"Kita semua tahu, kita sedang berada dalam PKP yang diakibatkan oleh penularan wabak COVID-19  yang sehingga kini mencecah 50 kematian manakala ramai yang kritikal dan positif COVID-19.

"Rakyat menjalani PKP sudah di fasa ke-2 dan mungkin juga akan tamat pada 14 April depan tetapi rakyat merasa tertekan selama tempoh tersebut kerana penjanaan ekonomi dalam keluarga terbantut akibat PKP ini.

Sumbangan kerajaan persekutuan ini bolehlah memberikan nafas baru untuk seisi rumah dengan jumlah bantuan RM1,600 bagi yang berpendapatan kurang dari RM4,000 sebulan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Yakub, bagi penjawat awam pula yang menerima tunai RM500 secara one-off melibatkan sejumlah 1.5 juta kesemuanya (Gred 56 dan ke bawah) dan pesara kerajaan juga menerima jumlah yang sama yang melibatkan sejumlah 850,000 orang.

“Malah elaun kakitangan kesihatan juga turut dinaikkan dari RM400 kepada RM600 di samping menerima peruntukkan tambahan RM1 bilion untuk Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Ini pertama kalinya dalam sejarah, kerajaan mengeluarkan belanja yang begitu besar demi untuk kebajikan dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya berjumlah RM250 bilion.

"Dari pengamatan saya,tidak ada lagi istilah rakyat terpinggir dari menerima bantuan ini samada mereka itu terdiri dari penjawat awam, swasta, berniaga sendiri, nelayan, petani, peladang, pekebun, anak-anak muda belia, warga emas, B40 ataupun M40, semuanya bakal menerima bantuan dari pakej yang diumumkan.

"Malah samada anda berdaftar dengan eKasih ataupun tidak, anda tetap akan menerima bantuan tunai ini seperti telah diumumkan oleh Perdana Menteri,” ujar Yakub lagi yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Sepanggar.

“Banyak lagi kemudahan diberikan dalam Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat ini dalam usaha kerajaan membantu perbelanjaan semasa rakyat malah segala urusan perbankan dan urusan sewa beli mendapat perhatian selain rakyat juga akan menikmati internet percuma mulai 1 April sehingga tempoh PKP ditamatkan,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Yakub turut merayu agar rakyat Sabah turut sama mematuhi PKP dan berusaha untuk memutuskan rantaian penularan wabak menakutkan ini.

“Semoga Sabah khususnya dan Malaysia amnya, akan pulih sebelum menjelangnya bulan Ramadan akan datang ini manakala yang bekerja kembali bertugas, anak-anak kembali belajar di sekolah, gerai dan kedai dibuka semula dan kita bebas semula bergerak kemana sahaja seperti sebelum ini.

"Sama-samalah kita #StayAtHome dan berusaha mendisiplinkan diri agar gejala wabak ini tidak menular dengan lebih teruk lagi.

"Kepada yang terpaksa keluar untuk mendapatkan barangan keperluan harian, biasakanlah diri untuk #SocialDistance (jarak diri antara satu sama lain), pakai penutup hidung/mulut, gunakan sarung tangan (gloves) dan selalulah membersihkan tangan dengan Hand Sanitizer atau sabun setiap masa,” katanya lagi.

  • oleh
  • Advertisement