Anda di sini

Pelbagai unit bantuan perubatan telah dihantar ke Sabah

Advertisement
SAFAR
SAFAR

KOTA KINABALU: Pelbagai keperluan unit bantuan perubatan kini dihantar ke Sabah dalam usaha menghadapi penularan wabak COVID-19 dan telah memasuki fasa 'late-containment'.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong berkata, berikutan trend penularan wabak yang semakin meningkat, maka keperluan-keperluan perubatan penting juga semakin bertambah.

"Sabah memerlukan bekalan perubatan yang mencukupi khususnya bagi kegunaan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah iaitu di hospital-hospital, klinik-klinik dan pusat-pusat kuarantin yang telah diwartakan sebanyak 37 buah.

"Selain itu, keperluan itu juga diperlukan oleh petugas-petugas barisan hadapan seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Imigresen Malaysia, ESSCOM dan beberapa agensi yang lain di seluruh negeri Sabah,"  katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, Kerajaan Sabah amat mengambil berat terhadap keperluan perubatan untuk semua petugas-petugas yang sentiasa memberi komitmen yang tinggi.
 
Dalam hal ini katanya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah bertungkus-lumus menguruskan penghantaran bekalan-bekalan perubatan yang kritikal ini dengan bantuan dan kerjasama penuh daripada pihak Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) yang berpangkalan di Subang menggunakan pesawat khas Airbus A400 dari Skuadron 22 TUDM Subang pada hari ini (3 April 2020).

"Di antara keperluan-keperluan penting yang berkaitan dihantar melalui pesawat TUDM  termasuklah 200,000 keping penutup muka, 50,000 keping sarung tangan, 10,000 liter pencuci tangan antiseptik, pelbagai item bagi Bekalan Makmal KKM serta keperluan yang lain.

"Sehubungan itu, saya bagi pihak kerajaan negeri ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pengurusan tertinggi ATM dan TUDM serta krew penerbangan yang terlibat dengan operasi penghantaran ke negeri Sabah.

"Ucapan terima kasih juga kita sampaikan kepada semua agensi yang terlibat termasuk NADMA, MKN Negeri Sabah, KKM, PDRM, ATM, RELA, APM, JIM dan sebagainya yang telah memberi kerjasama erat demi membendung wabak COVID-19," katanya.

  • oleh
  • Advertisement