Anda di sini

Kerajaan negeri dirayu benarkan ladang, kilang kelapa sawit beroperasi   

Advertisement
ANDREW LIEW SUI FATT
ANDREW LIEW SUI FATT

SANDAKAN: Dewan Perniagaan Cina Bersatu Sabah (SUCCC) merayu kepada kerajaan negeri agar diberikan pengecualian dan membenarkan ladang-ladang kelapa sawit serta kilang-kilang beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

 Presidennya Tan Sri Andrew Liew Sui Fatt meminta kepada kerajaan negeri untuk menimbang semula pelanjutan tempoh PKP ke atas industri minyak sawit dan membolehkan mereka meneruskan operasi.

 "Terdahulu itu, kami menghargai dan menyokong usaha kerajaan negeri Sabah dalam mengenakan PKP untuk mengekang penularan wabak COVID-19. 

"Kami memahami ancaman yang ditimbulkan oleh COVID-19 dan berkongsi keprihatinan kerajaan negeri Sabah yang memutuskan untuk mengenakan langkah-langkah tertentu termasuk penutupan ladang kelapa sawit dan operasi kilang.

 "Bagaimanapun, kita lebih prihatin dengan kesan terhadap ekonomi sosial yang disebabkan oleh penutupan ladang kelapa sawit dan operasi kilang yang belum pernah berlaku sebelumnya," katanya.

 Menurutnya, dengan harga pasaran minyak sawit mentah yang menurun dan hasil yang rendah bermula dari 2018 Jun hingga 2019 November, industri minyak sawit mengalami kerugian besar.

"Bagaimanapun, pada awal Januari harga minyak sawit mentah meningkat lebih dari RM3,000 per tan tetapi hanya berlangsung hingga akhir bulan Februari. 

"Dengan hasil tanaman yang rendah dalam beberapa bulan ini, industri minyak sawit tidak dapat pulih daripada kerugian berkenaan," katanya.
 
Liew berkata pelanjutan tempoh PKP yang tidak dapat dielakkan akan menyebabkan kesulitan kepada industri terutamanya pekebun-pekebun kecil kampung yang mata pencariannya bergantung kepada kelapa sawit untuk meneruskan kehidupan mereka dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang mempunyai pinjaman bank.

 "Syarikat-syarikat pengangkutan juga menghadapi kesulitan ekoran PKP kerana mereka tidak dibenarkan mengangkut baja dan minyak sawit mentah dari kilang-kilang ke kilang penapisan dan pelabuhan serta tandan buah segar dari ladang-ladang ke kilang-kilang. Ini akan memberi kesan rantaian besar ke seluruh industri," katanya.

 Jelasnya, jika ladang kelapa sawit tidak dibenarkan beroperasi atau menuai buahnya untuk dihantar ke kilang, akhirnya penanam akan mengalami kerugian yang besar kerana buah-buah sawit yang tidak dituai akan dibiarkan membusuk dan kilang-kilang tidak akan menerima buah-buah sawit yang berlebihan atau busuk dengan kandungan asid lemak tinggi.

 "Kami tahu bahawa ladang, kilang dan industri berkaitan di Semenanjung dikecualikan daripada PKP. Begitu juga dengan harapan kerajaan negeri akan mengikutinya. Kami akan berusaha sebaik mungkin untuk mematuhi syarat-syarat (jika ada) yang ditetapkan oleh kerajaan jika kami dibenarkan untuk dikecualikan.

 "Malah, beribu-ribu penduduk Sabah bergantung kepada pendapatan dari rantaian nilai industri," katanya.

 Untuk makluman, ladang kelapa sawit menghadapi kekurangan tenaga kerja selama bertahun-tahun. Sekiranya PKP dilanjutkan pendapatan pekerja akan banyak terjejas dan akibatnya mereka memilih untuk meninggalkan estet dan kembali ke tempat asal mereka (90 peratus adalah warga Indonesia). Sebaik sahaja mereka meninggalkan negara ini mereka tidak akan kembali.

"Sekali lagi, kami ingin menumpukan signifikan PKP terutamanya kepada penutupan ladang kelapa sawit dan operasi kilang. Perolehan cukai jualan Sabah sebanyak 7.5 peratus ke atas minyak sawit akan berkurangan secara mendadak dan semua industri berkaitan minyak sawit akan mengalami kerugian.

 "Semua operasi yang berkaitan dengan industri perlu diteruskan untuk mengelakkan implikasi kewangan dan sosial yang lebih teruk," jelasnya.

 Sehubungan itu, Liew berharap Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan meneliti kebimbangan pihaknya terhadap industri minyak sawit.

  • oleh
  • Advertisement