Anda di sini

STIA rayu kerajaan negeri benarkan operasi pada tempoh PKP

Advertisement
CHUA
CHUA

KOTA KINABALU: Persatuan Perusahaan Kayu-Kayan Sabah (STIA) berharap kerajaan negeri dapat membenarkan pihaknya menyambung sebahagian operasi pengeluaran termasuk mengeksport barangan siap sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presidennya Chua Yeong Perng berkata, kelulusan itu diharapkan boleh diberikan kerajaan kerana kegagalan itu mampu menjejaskan usaha pihak industri membayar gaji para pekerja pada bulan-bulan akan datang jika tidak dibenarkan meneruskan operasi.

“Penghantaran barang siap, kawalan pergerakan bahan mentah dan usaha memulakan pengeluaran secara sistematik berperanan penting bagi mempertingkat keupayaan industri mengekalkan serta membayar gaji kepada para pekerja.

"STIA juga menganggarkan terdapat kira-kira 120 kontena produk bernilai RM9 juta sehingga RM10 juta di pelabuhan dan pelbagai lokasi gudang," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Selain itu, beliau menjelaskan terdapat sejumlah 100,000 hingga 120,000 meter padu kayu tebang bernilai antara RM35 juta dan RM45 juta yang pada masa ini tersadai akibat pelaksanaan PKP.

“Nilai serta kualiti kayu berkenaan akan terus merosot setiap minggu. Kami menjangkakan secara keseluruhannya, kesemua kayu berkenaan akan kerugian kira-kira 15 sehingga 20 peratus daripada nilai sebenar.

“Bagi spesies kayu tertentu pula sudah kehilangan nilai komersialnya,” katanya.

Katanya, kilang di peringkat hiliran pula berdepan masalah kritikal membabitkan bahan pelekat yang hampir tamat tempoh.

Oleh itu, beliau mencadangkan supaya kilang tertentu dengan bahan pelekat sedemikian dibenarkan beroperasi dalam tempoh pengeluaran terhad bagi menggunakan stok terbabit.

Menurutnya, sekiranya PKP dilanjutkan lagi selepas 14 April, STIA meminta kerajaan untuk membenarkan aktiviti huluan dan hiliran tertentu memulakan operasi semula.

Beliau berkata, negeri-negeri lain seperti Sarawak dan Johor misalnya yang telah dibenarkan untuk beroperasi dalam skala pengeluaran lebih kecil.

  • oleh
  • Advertisement