Anda di sini

Ghafur mohon kerajaan negeri pertimbang rayuan pengusaha industri sawit

Advertisement
GHAFUR
GHAFUR

TAWAU : Kerajaan Negeri diharap dapat mempertimbangkan rayuan pengusaha industri sawit dari enam daerah di negeri ini supaya mereka dibenarkan untuk beroperasi di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mantan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh berkata pemberhentian operasi yang melibatkan daerah Kalabakan, Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu dan Kinabatangan itu sewajarnya dilaksanakan mengikut kes dan bukannya secara nenyeluruh.

"Industri sawit merupakan antara industri terpenting di negeri ini dan Kerajaan Negeri wajar mempertimbangkan rayuan para pengusaha sawit.

"Sekiranya pekerja-pekerja ladang dan kilang sawit ini bekerja, majikan dilihat dapat mengawal dan menjaga keselamatan serta kesihatan mereka mengikut prosedur yang ditetapkan, berbanding jika mereka tidak bekerja dan bebas ke mana-mana," katanya.

Terdahulu, Dewan Perniagaan Cina Tawau menyatakan yang mereka telah menghantar surat kepada Ketua Menteri Sabah untuk memohon supaya para pengusaha ladang dan kilang sawit yang terlibat dibenarkan untuk beroperasi.

Di dalam surat itu, dewan tersebut turut menyenaraikan lapan fakta untuk dipertimbangkan, antaranya termasuklah penyelenggaraan ladang hanya akan dilakukan oleh seorang pekerja bagi setiap 20 hingga 30 ekar.

Sebelum ini, Persatuan Minyak Sawit Malaysia, Persatuan Pemilik Ladang Malaysis, FGV Holdings Bhd, Sime Darby Plantation Bhd dan beberapa pengusaha industri sawit turut sudah membuat permohonan yang sama.

Malah, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC), Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman memberitahu  yang kementeriannya akan menghantar surat rayuan kedua kepada Ketua Menteri supaya memberi kelonggaran kepada peladang dan pengilang sawit untuk terus beroperasi sepanjang tempoh PKP.

  • oleh
  • Advertisement