Anda di sini

Gagal hadir di mahkamah, waran tangkap ke atas tiga wanita ingkar PKP

Advertisement
 

KUCHING: Mahkamah Majistret di sini hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap tiga wanita yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana gagal hadir untuk sebutan kes.

Majistret Sandy Yvette Freddy memerintahkan waran tangkap ke atas tertuduh, Haslina Sulaiman, 24 dan Alora Amban Jugah, 25, untuk dibawa ke mahkamah semula pada 12 Mei depan. 

Manakala seorang lagi wanita, Nur Shazreena Sulaiman, 21, diarah dibawa ke mahkamah pada 13 Mei depan. 

Waran tangkap itu dikeluarkan mahkamah setelah membenarkan permohonan dikemukakan Pegawai Pendakwa, Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang.

Haslina dan Alora yang bekerja sebagai penjual kad tambah nilai itu didakwa berada di kawasan jangkitan iaitu di sebuah kedai serbaneka di Kuching dan dan gagal mengemukakan alasan munasabah. 

Mereka didakwa melakukan kesalahan terbabit pada 19 Mac lalu, jam 12 tengah hari.

Nur Shazreena, seorang pekerja am pula didakwa bergerak dari rumahnya ke kawasan jangkitan iaitu dari Taman Dahlia Jalan Matang ke pusat komersial di Matang Jaya pada 19 Mac lalu, jam 10.50 pagi.

Ketiga-tiga wanita tersebut masing-masing berhadapan pertuduhan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 7 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda maksimum RM1,000 atau dipenjarakan maksimum enam bulan atau kedua-duanya. 

  • oleh
  • Advertisement