Anda di sini

Pengorbanan besar pasukan JDT perlu dijadikan contoh

Advertisement
 Pemain JDT Diogo Luis Santo (kanan) meraikan jaringan bersama sepasukan ketika menentang UiTM FC pada perlawanan Liga Super 2020 di Stadium Sultan Ibrahim, Gelang Patah pada 7 Mac lepas. — Gambar Bernama
SEMANGAT ‘FAIRPLAY’: Pemain JDT Diogo Luis Santo (kanan) meraikan jaringan bersama sepasukan ketika menentang UiTM FC pada perlawanan Liga Super 2020 di Stadium Sultan Ibrahim, Gelang Patah pada 7 Mac lepas. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Pemain, jurulatih dan kakitangan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) bukan sahaja bersetuju dengan pemotongan gaji sebanyak 33 peratus, malah mereka juga akan mendermakan sebahagian daripada gaji mereka untuk disalurkan kepada Tabung Bencana Negeri Johor.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan dikeluarkan FAM berkata pengorbanan yang ditunjukkan para pemain dan pegawai pasukan JDT itu seharusnya dicontohi pasukan lain dalam Liga-M.

“Apa yang telah ditunjukkan oleh JDT ini merupakan contoh pengurusan terbaik sesebuah kelab dalam menangani permasalahan yang boleh dianggap sebagai isu global kini,,” katanya.

Menurutnya penghargaan sudah tentu seharusnya diberikan kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, di atas usaha positif ini, dan cara baginda menguruskan kelab secara keseluruhannya.

Katanya beliau berharap agar pasukan-pasukan dalam Liga-M dapat mengadakan perbincangan terbuka dan mencapai satu keputusan bersama berhubung isu pembayaran gaji dalam keadaan yang sukar ketika ini demi menjaga kepentingan arena bola sepak negara.

JDT mengumumkan langkah yang diambilnya itu pada Ahad lalu menerusi catatan di laman Facebook rasmi pasukan itu, atas kesedaran mengenai situasi dan keperluan semasa demi meringankan beban kelab selepas saingan Liga-M ditangguh sejak 16 Mac lalu akibat penularan wabak COVID-19, selain membantu mereka yang terjejas dan memerlukan akibat wabak berkenaan.

Sementara itu, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) turut memuji seluruh warga pasukan JDT yang bersetuju dikenakan pemotongan gaji sehingga 33 peratus sebagai membantu pasukan dalam mengharungi detik sukar industri bola sepak tanah air ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan dalam kenyataan dikeluarkan badan pentadbir Liga Malaysia (Liga-M) itu hari ini, berkata pendekatan JDT yang mengadakan perbincangan bersama pemain, jurulatih dan kakitangan pasukan berjaya membuahkan kata sepakat untuk membantu kewangan pasukan.

“Inilah semangat ‘Fair Play’ yang tersemai di mana tindakan pemotongan gaji itu dilihat sebagai langkah penjimatan untuk seluruh warga JDT membantu kewangan kelab yang pastinya turut terkesan akibat wabak COVID-19 apabila saingan Liga-M musim 2019 terpaksa ditangguhkan sejak 16 Mac lalu.

“Kami di pihak MFL amat mengalu-alukan pendekatan ini dan ia juga selari dengan seruan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang mahu pemegang taruh bola sepak Malaysia agar mengintai jalan dalam usaha menangani masalah kewangan kelab disebabkan wabak COVID-19,” katanya.

Sementara itu, beliau turut memuji inisiatif JDT yang menyalurkan sebahagian daripada pendapatan mereka kepada Tabung Bencana Negeri Johor dalam membantu kerajaan negeri Johor meringankan beban masyarakat yang terjejas berikutan penularan wabak penyakit berjangkit itu di negeri berkenaan. — Bernama

Advertisement