Anda di sini

Parlimen Tawau sumbang 30,000 topeng muka kepada barisan hadapan

Advertisement
 Pihak Hospital Besar Tawau menerima 14,000 topeng muka dari Parlimen Tawau.
HOSPITAL: Pihak Hospital Besar Tawau menerima 14,000 topeng muka dari Parlimen Tawau.

TAWAU: Sebanyak 30,000 topeng muka disalurkan oleh Pejabat Parlimen Tawau kepada semua barisan hadapan termasuk petugas media di daerah ini.

Pegawai Perhubungan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tawau Robert Penggai berkata, sumbangan ini merupakan keperihatinan Timbalan Ketua Menteri merangkap Ahli Parlimen Tawau Datuk Christina Liew terhadap semua barisan hadapan yang berdepan risiko membendung penularan pandemik wabak COVID-19.

"Diharapkan sumbangan kecil ini dapat membantu para barisan hadapan di daerah ini dan difahamkan Datuk Christina juga akan berusaha memberikan bantuan cecair pembasmi kuman (sanitizer) dan sarung tangan mengikut kapasitinya yang ada.

"Beliau juga sedar kekurangan topeng muka ini sangat menyukarkan terutamanya barisan hadapan dan pihaknya akan sedaya upaya membantu menyalurkan bantuan berkenaan serta mencari jalan untuk diberikan kepada orang awam yang lain," katanya.

Robert berkata, Parlimen Tawau juga turut membantu masyarakat di kawasannya yang terjejas dengan masalah ketiadaan bekalan air yang mencukupi.

"Pihak kita sudah menyelesaikan sebanyak 85 peratus aduan berkaitan masalah ini dengan penghantaran air ke kawasan-kawasan yang terlibat dengan catuan air," katanya.

Beliau berkata, ini merupakan inisiatif pihak parlimen sendiri untuk membantu Jabatan Air dengan menggunakan lori air swasta.

"Kita sedia maklum Jabatan Air hanya mempunyai sebuah lori mengangkut air yang digunakan untuk kawasan Kalabakan sehingga Balung dan itu memang mustahil untuk memberikan perkhidmatan segera kepada penduduk yang terjejas," katanya.

Ditanya mengenai kenyataan tular di media sosial berkaitan Ahli Parlimen Tawau tidak turun membantu rakyat di kawasannya, beliau berkata semenjak arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, Datuk Christina juga sukar untuk bergerak ke luar daerah.

"Kita sedia maklum penerbangan domestik juga sangat terhad yang menyukarkan beliau untuk turun ke daerah Tawau.

"Namun, beliau sangat mengambil berat soal rakyat di daerah ini dengan mewakilkan semua kakitangan Parlimen Tawau untuk turun padang membantu rakyat yang terjejas ekoran PKP," katanya.

Menurutnya, setiap hari beliau meminta perkembangan yang telah dilakukan dan apa sahaja permintaan dari rakyat akan direkodkan untuk tindakan beliau.

"Beliau juga memohon maaf kerana tidak dapat turun padang di daerah ini kerana perjalanan beliau juga turut terjejas selama PKP disamping tugas yang mendorong beliau perlu selalu ada Kota Kinabalu," katanya.

Turut hadir menyampaikan sumbangan Ketua Pegawai Perhubungan Fung Thin Yein.

  • oleh
  • Advertisement