Anda di sini

IPB UMS bersiap sedia bantu ujian pengesanan COVID-19 di Sabah

Advertisement
 Antara latihan-latihan persediaan yang diadakan.
LATIHAN: Antara latihan-latihan persediaan yang diadakan.

KOTA KINABALU: Sepasukan penyelidik Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan latihan dalaman ujian saringan wabak COVID-19 pada 27 Mac lalu. 

Pengarah IPB, Dr. Zarina Amin berkata latihan berkenaan sebagai persediaan UMS menerusi IPB untuk menjadi salah sebuah pusat bagi membantu pengesanan COVID-19 di negeri ini.

“Sebagai makluman, selepas perbicangan bersama dua agensi yang terlibat dalam saringan COVID-19 iaitu Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan Makmal Kesihatan Awam Negeri Sabah, mereka telah bersetuju agar pengesanan wabak itu juga boleh dilakukan di IPB.

“Ini kerana kita juga mempunyai pakar penyelidik dan fasiliti yang lengkap untuk melakukan saringan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sesi latihan dalaman itu diadakan sepertimana ianya berlaku dalam situasi sebenar dengan dikawal selia oleh pegawai bio keselamatan dan pembantu makmal yang berpengalaman.

Katanya, antara yang dilaksanakan termasuklah perbincangan langkah kerja, penilaian risiko, penyemakan Prosedur Operasi Standard (SOP), dan langkah-langkah mitigasi bermula daripada penerimaan, penyimpanan, pemprosesan sampel, analisa data, sehinggalah kepada pelupusan sampel.

”Dalam saringan ini kita menggunakan teknik Reverse Trascription quantitative Polymerase Chain Reaction (RT-qPCR) yang dilihat boleh melancarkan lagi proses ujian saringan COVID-19.

“Saya yang turut sama terlibat dalam kumpulan penyelidik ini bersama pensyarah IPB yang lain iaitu Prof. Madya. Dr. Vijay Kumar, Prof. Madya. Dr. Kenneth F. Rodrigues, Dr. Christopher Voo Lok Yung, dan Dr. Noor Hydayaty Md Yusuf, amat gembira dengan kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan oleh setiap penyelidik. 

"Penyelidikan ini juga turut dibantu oleh staf IPB yang lain iaitu Prof. Madya. Dr. Lee Ping Chin, Dr. Nur Athirah Yusof, dan Dr. Ruzaidi Azli Mokhtar,” katanya.

Justeru Dr Zarina berkata, beliau yakin dengan adanya langkah kerja menyeluruh yang telah dibangunkan melalui latihan tersebut selain memiliki pasukan yang terlatih dan fasiliti yang terbaik, pihak IPB kini telah bersedia untuk menjalankan ujian saringan COVID-19. 

“UMS menerusi IPB juga berkeupayaan memberikan latihan kepada agensi yang memerlukan. Kini kita sedang dalam fasa perbincangan dengan JKNS bagi melatih lebih ramai kakitangan mereka menjalankan ujian menggunakan RT-qPCR, bagi membantu melancarkan proses ujian saringan COVID-19,” katanya.

Untuk rekod katanya, kesemua penyelidik yang terlibat telah dilatih dalam Pegurusan Risiko. 

Umpamanya Dr Vijay merupakan ahli Asia Pacific Biosafety Association (A-PBA) dan pernah dilantik sebagai ahli panel di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia untuk membangunkan dasar dan garis panduan yang kemudiannya digunakan dalam pembentukan Malaysia laboratory biosafety and biosecurity policy and guideline, edisi pertama 2015.  

Dr. Zarina, Dr. Kenneth, Dr. Christopher dan Dr. Hydayaty masing-masing telah melengkapkan latihan secara berasingan antaranya di Mentoring: Workshop on Implementation of a Sustainable Biorisk Management Program dan Malaysian Advanced Biorisk Officers Training anjuran pelbagai agensi termasuklah Institut Penyelidikan Sains dan TeknologiPertahanan (STRIDE),Malaysia Biosafety and Biosecurity Association (MBBA), danBiosecurity Engagement Program (BEP), Jabatan Negara, Amerika Syarikat.

  • oleh
  • Advertisement