Anda di sini

PKP: Satu lagi SJR diwujudkan di Sandakan

Advertisement
 Azhar ditanya pemberita ketika meninjau SJR baharu di Jalan Lintas Utara.
SIDANG MEDIA: Azhar ditanya pemberita ketika meninjau SJR baharu di Jalan Lintas Utara.

SANDAKAN: Pihak polis wujudkan satu lagi lokasi Sekatan Jalan Raya (SJR) di Sandakan bagi memastikan orang awam mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata lokasi SJR yang baharu diwujudkan itu di Jalan Lintas Utara yang kini menjadikan lima lokasi SJR di Sandakan.

“Tujuan pewujudan lokasi baharu itu untuk memastikan orang awam lebih mematuhi arahan PKP yang kini mempunyai baki 15 hari lagi,” katanya kepada media, petang tadi.

Beliau berkata sebagaimana arahan kerajaan kepada masyarakat agar sentiasa berada di rumah bagi memutuskan rangkaian menyebaran wabak COVID-19.

“Pergerakan keluar dari rumah hanyalah dengan tujuan kecemasan untuk mendapatkan rawatan di hospital , membeli barang-barang keperluan harian dan perkhidmatan yang perlu,” katanya.

Azhar berkata mana-mana kenderaan yang bergerak dan melalui SJR tanpa alasan yang munasabah adalah akan diarahkan pulang terutamanya selepas jam 6 petang.

Sementara itu, beliau memberitahu daerah Sandakan kini dibahagikan dua zon iaitu zon kawasan A bermula dari Pusat Bandar Sandakan sehingga Batu 4 dan Batu Sapi.

“Bagi zon kawasan B bermula dari Batu 4 sehingga ke darat. Pembahagian kawasan ini berdasarkan lokasi SJR.

“Orang awam di zon kawasan A ini boleh mendapatkan barang keperluan dan lain-lain di pusat bandar Sandakan,” katanya.

Azhar berkata bagi penduduk dari Batu 5, Batu 6, Batu 7 dan ke atas dinasihati untuk mendapatkan keperluan di kawasan tempat tinggal mereka.

 Anggota polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia sedang membuat pemeriksaan ke atas kenderaan yang lalu di Jalan Lintas Utara Sandakan.
PATUHI PKP: Anggota polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia sedang membuat pemeriksaan ke atas kenderaan yang lalu di Jalan Lintas Utara Sandakan.

“Kerana kawasan tersebut juga ada pasaraya, pasar umum Batu 8, bank-bank, farmasi dan lain-lain,” tegasnya.

Beliau menjelaskan mereka tidak perlu ke kawasan pusat bandar untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut dan sekiranya perkara itu berlaku di mana anggota SJR akan mengarahkan untuk balik semula ke kawasan mereka.

Azhar menasihati semua orang awam supaya mematuhi PKP dan terus tinggal di rumah bagi memutuskan penularan COVID-19.

  • oleh
  • Advertisement