Anda di sini

Bantuan perlu diagih sama rata

Advertisement
SUKIANTO
SUKIANTO

TAWAU: Bantuan sumber makanan COVID-19 yang diperuntukkan oleh pihak kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat mengundang pelbagai reaksi penduduk terutamanya mesej yang berlegar di media sosial.

Rata-rata rakyat mahukan bantuan terbabit diagihkan secara adil dan setimpal dengan jumlah yang diperuntukkan. Mereka yang diamanahkan diminta jangan mengambil kesempatan dalam kesempitan hidup rakyat.

Penduduk, Sukianto Launa, 45, berkata bantuan makanan itu difahamkan untuk golongan asnaf sahaja dan tidak semua rakyat dapat walaupun mereka tinggal di kampung serta terjejas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Saya juga difahamkan bantuan yang disalurkan kepada golongan ini hanya berjumlah RM43 sahaja sedangkan bantuan sebenar bernilai RM100.

"Sebenarnya situasi itu tidak boleh terjadi kerana bantuan itu khas untuk golongan yang kurang berkemampuan dalam mengharungi musibah yang melanda rakyat kini," katanya.

Beliau berkata, semua pihak juga harus turut membantu terutamanya badan-badan yang mempunyai kewangan seperti masjid, Kumpulan Selawat dan KRT tanpa mengharapkan bantuan sepenuhnya daripada pihak kerajaan.

"Kalau mengharapkan bantuan kerajaan, maka yang ada tersenarai sebagai asnaf sahaja yang dapat manakala penduduk kampung lain yang turut terjejas tidak mendapat bantuan," katanya.

RAZALIE
RAZALIE

Sementara itu, Razalie Ngelambong, 38, pula mengharapkan supaya pihak yang bertanggungjawab hendaklah mengagihkan bantuan sama rata kepada mereka yang benar-benar layak.

"Jangan hanya fokus kepada mereka berdasarkan fahaman politik, tetapi perlunya salurkan bantuan atas dasar kemanusiaan," katanya.

Menurutnya, kerajaan telah mengumumkan bantuan RM100 setiap yang layak dan agihan itu hendaklah dibuat berdasarkan jumlah berkenaan.

"Namun, ada diantara penerima tidak menerima barang yang sebegitu nilainya dan perkara itu mengundang rasa tidak puas hati rakyat lalu beranggapan pihak yang diamanahkan mengambil kesempatan di dalam kesempitan rakyat," katanya.

Tambahnya, ekoran ketidakpuasan itu, ada pihak tampil memberikan penjelasan bahawa agihan itu dibahagikan kepada jumlah yang kecil supaya lebih ramai rakyat yang menikmatinya.

"Pandangan saya, keputusan itu harus dibincangkan dan diberikan penjelasan yang kompleks kepada rakyat supaya mereka boleh faham situasi sebenar.

"Walaupun niat itu baik, tetapi pihak berkenaan harus memberikan bantuan itu seperti yang telah kerajaan umumkan dan perlu adanya perbincangan sekiranya mahu berbuat demikian," katanya.

  • oleh
  • Advertisement