Anda di sini

Usahawan mikro lega dapat dana, bantuan di bawah pakej PRIHATIN

Advertisement
Priscilla Michael

KUCHING: Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumum kerajaan persekutuan dilihat dapat memberi kelegaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk usahawan mikro dalam memulihkan semula perniagaan mereka.

Pengusaha kraftangan manik, Priscilla Michael, 37, mengakui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 18 Mac hingga 14 April menjejaskan aktiviti jualan dan pendapatan perniagaannya.

Menurut beliau, ini kali pertama jualan perniagaannya merosot teruk ekoran tidak dapat berniaga apabila PKP dikuatkuasakan.

“PKP telah menjejaskan aktiviti ekonomi namun ini perlu dilakukan kerana kita perlu memutuskan rantaian COVID-19. 

“Justeru, langkah kerajaan memberikan dana tambahan sebanyak RM4.5 bilion kepada PKS dan usahawan kecil di bawah pakej rangsangan ekonomi sudah pasti memberi kelegaan kepada saya,” katanya kepada Utusan Borneo hari ini.

Priscilla menyifatkan dana yang diperuntukkan kerajaan itu sebagai amat baik kerana sekurang-kurangnya ia boleh membantu usahawan kecil terus berdaya tahan.

“Pada masa sama, dana itu boleh digunakan untuk meningkatkan kebajikan pekerja dalam menghadapi waktu yang sukar ini, “ kata beliau yang telah berkecimpung dalam perniagaan itu selama lima tahun di bawah nama, PMY Collection.

Norarifin Ahmad
Norarifin Ahmad

Sementara itu, seorang pengusaha butik pengantin, Norarifin Ahmad juga menyambut baik pakej rangsangan ekonomi itu kerana dapat membantu mengurangkan beban aliran tunai perniagaan ketika menghadapi wabak COVID-19.

Beliau berkata, semua pelanggannya yang telah membuat tempahan dari bulan Mac hingga April, menangguhkan tarikh perkahwinan mereka ke hujung tahun ini. 

“Malahan separuh daripada pelanggan yang membuat tempahan di kedai saya, d'jejari Emas Bridal sebelum ini, juga menangguhkan perkahwinan mereka ke tarikh yang lain.

“Penangguhan ini sekali gus menyebabkan pendapatan perniagaan saya terjejas. Melihat kepada situasi ini, maka saya menyambut baik pakej PRIHATIN yang boleh digunakan untuk memulihkan perniagaan nanti,” ujarnya.

Menurut Norarifin, pelanggannya sangat meluas bukan hanya di Serian, Kuching, Lundu, Sri Aman bahkan turut meliputi kawasan lain yang kebanyakannya menerusi Facebook.

“Selain bantuan dana tambahan RM4.5 bilion, saya percaya bantuan usahawan B40 di bawah program kewangan sosial dalam bentuk modal permulaan dengan pembiayaan mikro pada kadar berpatutan sememangnya amat diperlukan oleh usahawan kecil seperti saya.

“Insya-Allah, dengan bantuan diumumkan kerajaan persekutuan dapat menimbulkan rasa lega dalam kalangan peniaga untuk bangkit semula selepas pelaksanaan PKP,” katanya.

Aduka Morni
Aduka Morni

Bagi usahawan ikan terubuk masin, Aduka Morni berkata, beliau amat berpuas hati dan berterima kasih kepada kerajaan persekutuan untuk pemberian bantuan dana atau penangguhan pembayaran ansuran cukai pendapatan dan sebagainya kepada PKS.

“Kita sedia maklum, tempoh PKP dilanjutkan sehingga 14 April  depan. Jadi, ekoran penambahan tempoh tersebut kebanyakan peniaga kecil seperti kami dan rakyat yang bekerja sendiri sudah semestinya akan terjejas hasil pendapatan mereka.

“Maka dengan adanya pengumuman pakej PRIHATIN ) ini, sedikit sebanyak memberi kelegaan untuk kami dalam membeli barangan keperluan harian serta kelangsungan perniagaan,” ujar beliau.
 

  • oleh
  • Advertisement