Anda di sini

Guna khidmat tentera, bomba, helikopter menghantar bekalan makanan ke luar bandar

Advertisement
Abang Johari (kiri) bersama Awang Tengah (kanan) serta yang lain meninjau bekalan makanan hari ini. - Gambar Roystein Emmor
Abang Johari bersama Awang Tengah serta yang lain meninjau bekalan makanan hari ini. - Gambar Roystein Emmor

KUCHING: Kerajaan negeri akan menggunakan khidmat tentera dan bomba termasuk helikopter untuk menghantar bekalan makanan ke kawasan luar bandar dan pedalaman. 

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan negeri memastikan bekalan makanan sentiasa ada dan mencukupi sepanjang tempoh lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

"Keperluan asas ini mesti sentiasa ada dan mencukupi bukan sahaja di Kuching tetapi juga di tempat-tempat lain terutama kawasan luar bandar dan pedalaman yang terputus logistik dan akses. 

"Jadi untuk memastikan bekalan makanan ini sampai kepada mereka kita memerlukan bantuan tentera dan agensi-agensi lain seperti bomba dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). 

"Kita juga akan menggunakan khidmat helikpoter untuk menghantar bekalan makanan ke kawasan yang ada masalah akses dengan kos ditanggung oleh kerajaan," katanya pada sidang media ketika melakukan tinjauan ke Pasar Raya Ta Kiong di Pusat Membeli Belah The Spring di sini, hari ini.

Sementara itu Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Rantaian Bekalan Makanan memberi jaminan bahawa bekalan makanan terutama keperluan asas mencukupi. 

Semua bekalan keperluan asas ini seperti beras, gula, minyak masak, tepung dan lain-lain katanya adalah mencukupi untuk tempoh tiga bulan. 

"Saya juga telah meminta pihak pasar raya dan peruncit yang lain untuk memaklumkan kepada pembekal supaya menambah stok masing-masing  sekurang-kurangnya cukup untuk tiga bulan," katanya 

Dari sudut pengagihan pula katanya, perbincangan telah dibuat dengan pihak KPDNHEP untuk memastikan bekalan di setiap titik jualan yang ada di luar bandar mencukupi termasuk tong gas silinder petroleum cecair (LPG). 

Dalam pada itu purata penggunaan beras bagi rakyat Sarawak adalah 300 metrik tan sehari atau 9,000 metrik tan sebulan. 

Terdahulu Ketua Menteri bersama Awang Tengah serta beberapa menteri kabinet yang lain turut melawat Pasar Raya Mydin di Petra Jaya bagi meninjau bekalan makanan di pasar raya tersebut. 

Turut serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta yang lain. 

  • oleh
  • Advertisement