Anda di sini

Peniaga diberi amaran jangan sorok barang kawalan

Advertisement
 Pegawai Pemantau Harga Rafidah Nudin sedang memeriksa bekalan barang keperluan semalam.
MENCUKUPI: Pegawai Pemantau Harga Rafidah Nudin sedang memeriksa bekalan barang keperluan semalam.

LIMBANG: Peniaga diingatkan agar tidak menyorok barang kawalan bagi memastikan bekalan barang keperluan sentiasa mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April depan.

Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Bahagian Limbang Pulnama Tarah berkata, perbuatan menyorok bekalan kawalan boleh menyebabkan ketirisan berlaku sehingga menimbulkan pembelian panik dalam kalangan orang awam.

“Peniaga diberi amaran supaya tidak menyorok barang kawalan kerana ia merupakan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Jika sabit kesalahan pertama mereka berdepan hukuman tidak melebihi RM1,000,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya hukuman tidak melebihi RM3,000,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua–duanya,”katanya kepada media di sini, semalam.

Pulnama menegaskan lagi, bagi badan korporat yang melakukan kesalahan di bawah akta ini jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000 dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh didenda tidak melebihi RM5,000,000.

Bagaimanapun beliau berkata, setakat kini, KPDNHEP Limbang tidak menerima sebarang aduan berhubung kenaikan harga dan kegiatan menyorok barang oleh peniaga di Daerah Limbang dan Lawas.

Sementara itu, Pulnama menasihati penduduk di Bahagian Limbang supaya bertenang dengan tidak melakukan pembelian panik kerana bekalan makanan dan barang keperluan dijamin mencukupi sepanjang tempoh PKP hingga 14 April.

“Berdasarkan pemantauan dan pemeriksaan yang sentiasa dijalankan kita mendapati pihak pemborong, pasar raya dan kedai runcit di kedua-dua daerah telah memberi jaminan dan kerjasama baik bagi memastikan bekalan mencukupi sepanjang perintah kawalan pergerakan ini dikuatkuasakan,”jelasnya.

Jelasnya, KPDNHEP Limbang dan Lawas mempunyai kekuatan seramai 26 orang yang terdiri daripada 14 pegawai penguat kuasa dan 12 pegawai pemantau harga yang digerakkan sepanjang tempoh ini dan cuti mereka juga dibekukan.

Beliau menasihati pengguna agar sentiasa berhemah semasa berbelanja dan peniaga mengamalkan etika perniagaan yang baik.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan ke Bilik Gerakan KPDNHEP di talian 085-217414 (Limbang) dan 085-283650 (Lawas) atau portal aduan KPDNHEP di https://eaduan.kpdnhep.gov.my

Bilik gerakan KPDNHEP Limbang beroperasi setiap hari dari jam 8 pagi hingga 6 petang sepanjang tempoh PKP.

  • oleh
  • Advertisement