Anda di sini

Lelaki pertama ingkar PKP ditahan polis 

Advertisement
 Kereta sedan yang dinaiki suspek ingkar PKP turut dirampas pihak polis.
RAMPAS: Kereta sedan yang dinaiki suspek ingkar PKP turut dirampas pihak polis.

KOTA KINABALU: Polis berjaya melaksanakan tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki yang ingkar dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam satu sekatan jalan raya Ops COVID-19 di Batu 7, Jalan Tuaran di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, suspek berumur 33 tahun itu ditahan selepas menunjukkan kelakuan agresif kira-kira jam 6 petang.

“Hasil siasatan mendapati suspek yang memandu sebuah kereta sedan bersama seorang lagi rakannya menuju ke Manggatal sebelum melalui sekatan jalan raya yang dijalankan oleh pihak polis.

“Suspek gagal menunjukkan lesen memandu sebelum polis mengeluarkan saman menyebabkan suspek tidak puas hati sebelum memarahi anggota polis di lokasi dengan mengeluarkan kata-kata kesat.

“Bukan hanya itu, suspek juga bertindak keluar dari kenderaannya dan bertindak agresif menumbuk bahagian bonet keretanya apabila polis mengarahkan rakannya keluar dari kereta selepas gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri,” katanya.

Habibi berkata bagi mengawal keadaan polis kemudiannya menahan suspek dan merampas kereta yang dinaiki.

Tambahnya kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

  • oleh
  • Advertisement