Anda di sini

Angka korban COVID-19 di Itali melebihi 4,000

Advertisement
 Seorang lelaki memakai penutup mulut dan hidung berdiri tidak jauh dari keranda ibunya ketika paderi                                membaca doa pada upacara pengebumian di tanah perkuburan Seriate, dekat Bergamo, Lombardy kelmarin di tengah-tengah perintah berkurung untuk membendung COVID-19 di Itali yang mencatatkan bilangan kematian melebihi 4,000. — Gambar AFP
SUASANA SURAM: Seorang lelaki memakai penutup mulut dan hidung berdiri tidak jauh dari keranda ibunya ketika paderi membaca doa pada upacara pengebumian di tanah perkuburan Seriate, dekat Bergamo, Lombardy kelmarin di tengah-tengah perintah berkurung untuk membendung COVID-19 di Itali yang mencatatkan bilangan kematian melebihi 4,000. — Gambar AFP

NEW YORK: Bilangan kematian yang suram akibat Novel Koronavirus (COVID-19) di Itali, negara paling teruk terjejas di dunia, melepasi 4,000 kelmarin manakala New York dan negeri lain di Amerika Syarikat (AS) mengikuti langkah California untuk mengarahkan perintah berkurung dalam usaha untuk mengawal pandemik itu.

Sementara jangkitan baharu dikesan di seluruh dunia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata kota Wuhan di tengah China, di mana pandemik itu bermula pada Disember lalu, memberi sinar “harapan kepada negara lain di dunia” apabila ia tidak melaporkan sebarang kes baharu.

Ketika Itali terhuyung-hayang akibat bilangan sehari yang terburuk di sana dengan lebih 600 maut, kematian di seluruh dunia melepasi 11,000, dan jumlah orang yang mendapat jangkitan mencecah 258,000, menurut satu kiraan AFP.

Sementara itu kerajaan dan bank pusat terus meng-umumkan jumlah wang yang begitu besar untuk mengatasi masalah ekonomi, dengan harapan agar kemelesetan global yang mendalam dapat dielakkan.

Presiden AS Donald Trump memuji keputusan yang diambil oleh gabenor New York dan California untuk mengarahkan penduduk agar duduk di rumah tetapi berkata beliau tidak fikir bahawa perintah berkurung di seluruh negara adalah perlu.

“Itu adalah dua sarang (virus) sebenarnya,” kata Trump.

“Saya tidak fikir kita akan mendapati perintah berkurung di seluruh AS adalah perlu,” katanya, dan menambah AS “sedang memenangi” peperangan menentang virus itu.

Sejurus selepas Trump bercakap, gabenor Illinois mengarahkan penduduk di negeri tengah barat negara itu untuk duduk di rumah dan gabenor Connecticut turut melakukan perkara yang sama.

Perintah duduk di rumah itu meletakkan tiga bandar raya dengan penduduk paling ramai di AS - New York, Los Angeles dan Chicago – dalam keadaan berkurung.

Britain, yang mengikuti contoh negara-negara jiran dalam Kesatuan Eropah, turut mengumumkan sekatan yang lebih ketat, dan meminta pub, restoran dan pawagam ditutup selain berjanji untuk membantu menampung gaji pekerja yang terjejas.

Itali melaporkan satu hari yang terburuk di sana, de-ngan menambah 627 kematian untuk menjadikan jumlah kematian keseluruhan yang dilaporkan sebanyak 4,032 walaupun kerajaan berusaha untuk memben-dung penularan.

Negara dengan 60 juta penduduk itu kini mencatatkan 36 peratus daripada jumlah kematian akibat COVID-19 di dunia dan kadar kematiannya setinggi 8.6 peratus di kalangan mereka yang didaftarkan dengan jangkitan adalah jauh lebih tinggi berbanding di kebanyakan negara lain.

Perancis kelmarin melaporkan 78 kematian lagi dalam tempoh 24 jam, untuk menjadikan bilangan kematian di sana sebanyak 450.

Dalam berita yang menggalakkan, Wuhan melaporkan tiada kes baharu dalam tempoh 24 jam.

“Wuhan memberi harapan kepada negara lain di dunia bahawa situasi paling teruk sekali pun dapat diubah menjadi baik,” kata ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Beberapa jam terdahulu, California, yang mempu-nyai lebih 1,000 kes dan 19 kematian, meminta 40 juta penduduknya untuk duduk di rumah.

Negeri New York, yang melaporkan lebih 7,000 kes dan 39 kematian, mengikuti contoh California pada pagi kelmarin, dan mengarah hampir 20 juta penduduknya untuk melakukan perkara yang sama bermula petang ini (Ahad).

“Semua kita dalam kuarantin sekarang,” kata Gabenor New York Andrew Cuomo.

Trump turut mengumumkan kelmarin bahawa AS dan Mexico sudah bersetuju untuk membataskan perjalanan yang tidak perlu di sempadan bermula semalam.

Beliau berkata langkah itu, yang sama dengan langkah yang sudah diumumkan bersama Kanada, adalah perlu untuk mencegah “penularan jangkitan kepada ejen sempadan kita, pendatang, dan kepada orang umum”.

Sementara itu seorang kakitangan di pejabat Naib Presiden AS Mike Pence, orang rujukan utama bagi tindakan Washington kepada wabak COVID-19, diuji positif bagi penyakit itu.

Di Eropah, kerajaan te-rus melaksanakan langkah berkurung dengan bertenaga selepas lebuh dan dataran paling masyhur di benua itu terus sunyi sepi dan lengang pada waktu ketibaan cuaca musim bunga yang lebih panas.

Perancis, Itali, Sepanyol dan negara lain di Eropah telah meminta rakyat untuk duduk di rumah, malah me-ngugut untuk mengenakan denda dalam beberapa kes, dan Bavaria menjadi wilayah pertama di Jerman yang me-ngarahkan perintah berkurung.

Perancis berkata lebih 4,000 orang didenda pada hari pertama perintah berkurung dan menteri-menteri menyifatkan mereka yang melanggar peraturan sebagai “orang dungu”.

Langkah ketat itu meng-ikuti templat yang ditetapkan oleh China, selepas perintah berkurung yang dilaksanakan di wilayah Hubei di mana virus itu pertama kali muncul dipercayai sudah membuahkan hasil.

Jumlah kematian sebanyak 3,248 di China sudah kelihatan stabil, menurut kiraan AFP.

Bayang-bayang virus itu semakin menyelubungi Afrika dan juga di Timur Te-ngah.

Gabon mengesahkan kematian kedua yang diketahui di rantau Gurun Sahara Afrika, dengan kes yang dilaporkan di Afrika melebihi 900 dan sedang meningkat dengan cepat.

Di Iran, pemimpin tertinggi Ayatollah Ali Khamenei dan Presiden Hassan Rouhani berjanji negara itu akan meng-atasi wabak itu – tetapi masih enggan menyertai negara lain di dunia untuk melaksanakan sekatan ketat.

Di Amerika Latin, Cuba dan Bolivia mengumumkan mereka telah menutup sempadan mereka.

Bank-bank pusat AS, Jepun, Britain, Kanada dan Switzerland menggembleng tenaga kelmarin dalam usaha baharu untuk memastikan wang terus mengalir dalam ekonomi dunia. — AFP

Advertisement