Anda di sini

Penduduk Keningau diminta patuhi perintah hargai petugas kekang wabak

Advertisement
JULIUS
JULIUS

KENINGAU: Penduduk daerah ini diminta mengambil berat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai satu sumbangan kepada negara untuk mengekang penularan COVID-19.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Bingkor Peter Daigo Mangkil dan Ketua Daerah Keningau OKK Julius Favianus Lian Likang @ Mohd Hafiz merayu kepada orang ramai agar mematuhi pengumuman diam di rumah yang kini masuk hari keempat.

"Kita bersimpati dengan para petugas yang berada di barisan hadapan bertungkus-lumus melaksanakan kerja-kerja kecemasan dan sebagai rakyat kita perlu membantu mereka yang terdiri daripada kalangan doktor, jururawat, petugas kesihatan dan keselamatan,"kata Peter semalam.

Menurut Peter, duduk di rumah merupakan satu sumbangan besar kepada para petugas di bahagian hadapan untuk mengekang rantaian penularan wabak yang lebih memburukkan keadaan.

Peter menegaskan duduk di rumah juga merupakan langkah berjaga-jaga untuk keselamatan diri dan keluarga.

Peter turut mengajak penduduk agar sama-sama berdoa mengikut kepercayaan masing-masing untuk memohon perlindungan para petugas hospital agar terhindar daripada jangkitan wabak berkenaan.

Sementara itu OKK Julius mengeluarkan surat kepada ketua-ketua adat di kawasan Bingkor dan Liawan bagi mengurangkan pergerakan ke luar rumah.

"Kita meminta orang ramai agar dalam tempoh perintah kawalan pergerakan ini menangguhkan dahulu majlis keramaian dan perhimpunan untuk menjauhi risiko wabak," katanya.

PETER
PETER

Menurut Julius, langkah berjaga-jaga perlu diambil meskipun rekod setakat ini menyatakan Keningau masih bebas dari sebarang kes COVID-19.

Dalam surat yang diedarkan, Julius menyatakan arahan berkenaan adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas COVID-19 di sini.

Tinjauan penulis bebas Paul Ukau di Klinik Kesihatan Bingkor menunjukkan jabatan berkenaan sedang siap-siaga membendung penularan wabak COVID-19.

Menurut Paul, klinik berkenaan membuka kaunter khas 'Saringan Demam COVID-19' untuk kalangan pesakit luar mendapatkan pemeriksaan suhu badan sebelum dibenarkan berurusan dengan para petugas.

Kata Paul, kelihatan orang ramai memberikan kerjasama dan amat menghargai inisiatif pusat kesihatan Bingkor.

 Kaunter khas Klinik Kesihatan Bingkor.
SARINGAN: Kaunter khas Klinik Kesihatan Bingkor.
  • oleh
  • Advertisement