Anda di sini

Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan mungkin dilanjut jika dua minggu ini gagal - Perdana Menteri

Advertisement
 
KUALA LUMPUR: Kerajaan mungkin terpaksa melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sekiranya tempoh dua minggu ini gagal mengekang penularan wabak COVID-19, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) malam ini.

Perdana Menteri berharap Malaysia bebas dari COVID-19 selepas habis tempoh dua minggu perintah itu berkuat kuasa bermula hari ini.

“Kerajaan berharap selepas habis tempoh dua minggu, mereka yang mempunyai simptom berjaya diasingkan untuk diberikan rawatan, menjadikan Malaysia bebas dari COVID-19,” katanya dalam perutusan yang disiarkan secara langsung di stesen-stesen televisyen tempatan, malam ini.

“Jika dalam tempoh ini kita belum berjaya sepenuhnya, kerajaan mungkin terpaksa melanjutkan tempoh Perintah Kawalan,” kata Muhyiddin.

Sehubungan itu, beliau menekankan betapa pentingnya rakyat mengasingkan diri dan keluarga dari terdedah kepada virus COVID-19 dengan berada di rumah.

Beliau menerangkan mengapa tempoh perintah itu dibuat selama dua minggu kerana COVID-19 mempunyai hayat inkubasi dua minggu.

“Kita hendak putuskan rantaian jangkitan. We want to break the chain of infection. Supaya jumlah orang yang dijangkiti wabak COVID-19 ini dapat dikurangkan,” katanya.

Dalam perutusan itu, perdana menteri berulang kali merayu kepada rakyat supaya duduk di rumah dengan tidak menggunakan tempoh dua minggu itu untuk balik kampung, pergi bercuti dan melepak dengan kawan-kawan.

“Dalam tempoh dua minggu ini, duduklah diam-diam di rumah. Stay at home (Duduklah di rumah),” katanya. - BERNAMA