Anda di sini

Tiada pembelian panik susulan penularan COVID-19

Advertisement
 Pengunjung membeli barang keperluan harian seperti biasa di pasar raya-pasar raya di sekitar Kuching.
SEPERTI BIASA: Pengunjung membeli barang keperluan harian seperti biasa di pasar raya-pasar raya di sekitar Kuching.

KUCHING: Tiada pembelian panik barangan keperluan dilakukan oleh orang ramai di pasar raya di sekitar bandar raya ini susulan penularan wabak COVID-19  di negeri ini.

Tinjauan Utusan Borneo di beberapa pasar raya di sekitar bandar raya ini semalam mendapati tiada kesesakan luar biasa berlaku bagi pembelian barang keperluan.

Kertina Bujang yang ditemui berkata dia hanya keluar membeli barang keperluan harian biasa semalam dan bukannya pembelian panik.

“Ini bukan pembelian panik. Apa yang saya beli hari ini hanya pembelian biasa sebab banyak barang keperluan  di rumah sudah habis,” katanya.

Kertina turut berpendapat bahawa pembelian panik tidak perlu dibuat pada masa ini kerana situasi COVID-19 di negeri ini masih belum sampai ke tahap itu.

“Kalau kita buat pembelian panik, ia mungkin akan membuatkan masyarakat lebih panik. Jadi bagi saya tidak perlu pembelian panik, cukuplah membeli apa yang perlu sahaja,” katanya.

Sementara itu di satu lagi pasar raya lain, Khairul Akmal Kudus yang ditemui juga berpendapat bahawa tiada keperluan untuk pembelian panik buat masa ini.

Khairul yang keluar membeli-belah bersama ibunya Norhayati Abdul Aziz berkata pembelian yang dibuat semalam  adalah untuk keperluan harian biasa sahaja.

“Bagi saya tidak perlu rasanya untuk kita membuat pembelian panik. Cukuplah untuk kita membeli keperluan yang perlu sahaja.

“Lagipun kerajaan telah mengeluarkan kenyataan bahawa situasi ini masih terkawal dan bekalan barang keperluan mencukupi,” katanya.

Di pihak pasar raya pula menurut Ketua Keselamatan Emart Matang Mohamad Muslim, aktiviti membeli-belah berjalan seperti biasa dan setakat ini tidak berlaku kesesakan luar biasa pengunjung.

Dari segi stok barangan pula katanya, pihak pasar raya mempunyai stok barang keperluan asas yang mencukupi.

Justeru Mohamad menasihati orang ramai supaya tidak panik dan tidak membuat pembelian melebihi keperluan.

  • oleh
  • Advertisement