Anda di sini

Kumpulan pemburu menyamar anggota ESSCom dikehendaki

Advertisement
HAZANI.
HAZANI.

LAHAD DATU: Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Hazani Ghazali menafikan penglibatan anggotanya dalam insiden melepaskan beberapa das tembakan secara rambang menggunakan senjata api di salah sebuah ladang, di sini.

Menurutnya, kejadian itu berlaku kira-kira jam 4.32 petang di pintu utama sebuah ladang kelapa sawit melibatkan sekumpulan lelaki berumur dalam lingkungan 33 hingga 44 tahun yang menaiki dua buah kenderaan pacuan empat roda.

“Kesemua mereka termasuk seorang lelaki yang menyamar sebagai anggota ESSCom telah mendesak pengawal keselamatan yang bertugas di pintu utama ladang itu untuk membenarkan mereka memasuki ladang untuk tujuan memburu.

“Namun demikian, apabila mereka tidak dibenarkan masuk, salah seorang lelaki berbadan kurus dari kumpulan berkenaan bertindak melepaskan beberapa das tembakan secara rambang menggunakan senjata api ke udara.

"Selepas melepaskan beberapa das tembakan, mereka telah mengutip kelongsong peluru lalu beredar," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Menurut Hazani insiden itu tidak melibatkan sebarang kecederaan dan satu laporan polis telah dibuat pihak pengurusan ladang di Ibu Pejabat Polis Daerah Beluran untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, pihak berkuasa sedang giat mengesan kesemua suspek yang terlibat dalam kejadian itu bagi mengenalpasti identiti dan jenis senjata api yang digunakan suspek,” katanya.

Beliau meminta kepada semua pihak sekiranya wujud keraguan mengenai identiti seseorang atau mahu mengesahkan identiti anggota ESSCom yang bertugas yang ingin memasuki sesebuah premis, ladang dan sebagainya boleh menghubungi Pusat Operasi ESSCom ditalian 089863181.

  • oleh
  • Advertisement