Anda di sini

Henti sebar berita palsu COVID-19

Advertisement
NASRI
NASRI

LAHAD DATU: Orang ramai di daerah ini dinasihatkan menghentikan sebaran berita palsu berkaitan COVID-19 atau berdepan dengan tindakan tegas undang-undang.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata sebarang penularan berita palsu yang menggugat ketenteraman awam boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.

"Orang ramai dinasihati tidak sewenang-wenangnya menyiarkan berita yang tidak sahih.

"Sebarang pertanyaan berkenaan kemusykilan boleh diajukan terus kepada Jabatan Kesihatan atau polis," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Mengulas mengenai berita palsu yang disebarkan di media sosial, Nasri berkata maklumat terkini terdapat 14 orang yang telah disahkan positif virus COVID-19 dan sedang dikuarantin di Hospital Lahad Datu.

Katanya, keadaan daerah ini aman terkawal dan tidak seperti yang disebarkan.

"Saya ingin menegaskan bahawa tiada larangan kepada orang luar untuk memasuki Lahad Datu. 

"Tiada juga pesakit yang positif virus ini yang melarikan diri dari Hospital Lahad Datu," katanya.

Sejak kelmarin, viral di aplikasi Whatsapp menghebahkan daerah ini tidak selamat setelah sejumlah individu yang dikuarantin melarikan diri hingga sekatan jalan raya dibuat.

Nasri seterusnya menasihati orang ramai di sini agar menghentikan penyebaran maklumat dan berita palsu dan lebih bertanggungjawab dalam membuat sebarang tindakan.

Beliau turut menyeru individu yang mempunyai tanda-tanda jangkitan COVID-19 tampil membuat saringan di hospital.

  • oleh
  • Advertisement