Anda di sini

Kerajaan negeri akan perkenal pakej rangsangan ekonomi

Advertisement
 Shafie (tengah) menerima cenderahati daripada Ahmad Fuzi (kiri) selepas merasmikan majlis itu. Turut kelihatan Madius (kanan).
CENDERAHATI: Shafie (tengah) menerima cenderahati daripada Ahmad Fuzi (kiri) selepas merasmikan majlis itu. Turut kelihatan Madius (kanan).

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi sebagai langkah menyelesaikan isu-isu ekonomi yang dihadapi Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, inisiatif berkenaan dijangka dilancarkan pada awal April ini.

Katanya, langkah itu bukan sahaja membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini. Malah membantu menangani masalah yang mendapat impak daripada isu ekonomi dunia serta jangkitan COVID-19.

Pada masa sama, beliau juga mahu pelaksanaan projek-projek besar yang akan beri impak dalam perkembangan ekonomi negeri ini.

"Saya sudah berbincang dengan beberapa pihak dan yakin inisiatif ini akan membantu Sabah untuk berdepan dengan ketidakstabilan ekonomi sekarang.

"Walaupun kerajaan Persekutuan sebelum ini mengumumkan beberapa pakej rangsangan ekonomi yang turut melibatkan Sabah.

"Namun, kita juga perlu lihat untuk negeri kita sendiri bagaimana cara terbaik dalam memformulasikan pakej rangsangan ekonomi yang membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perbincangan Meja Bulat Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) di sini.

Dalam pada itu, Shafie turut melihat penganjuran WIEF di Sabah akan membantu memperincikan langkah yang bersesuaian dan menjalin kolaborasi walaupun dunia menghadapi pelbagai cabaran ekonomi.

Menurutnya, dalam menghadapi cabaran ekonomi dunia, semua pihak tidak seharusnya berdiam diri tetapi mengambil langkah yang wajar untuk menangani masalah berkenaan secara bekerjasama.

"Saya yakin dari perbincangan meja bulat WIEF ini kita akan memperolehi bukan hanya maklumat tetapi ilmu pengetahuan yang bermanfaat kepada kita.

"Ia juga sebagai landasan untuk kita menjalin hubungan dengan beberapa pihak yang sedia ada mempunyai jalinan kerjasama ekonomi dengan negara-negara lain," katanya.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau dan Setiausaha Agung Yayasan WIEF Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak.

  • oleh
  • Advertisement