Anda di sini

Kanak-kanak 11 tahun dijangkiti Influenza A maut di Miri

Advertisement
 

MIRI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dilaporkan meninggal dunia akibat Influenza A teruk dengan kegagalan pelbagai organ di Hospital Miri pada Rabu. 

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) Dr Chin Zin Hing berkata kanak-kanak tersebut mendapat rawatan di Hospital Miri pada 8 Mac dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada hari yang sama. 

Menurutnya, dia mengalami demam panas, batuk, muntah dan sesak nafas sejak 5 Mac, dan tidak mempunyai sejarah melawat ke luar negara atau mempunyai sejarah kontak dengan kes COVID-19.

"Malah, keputusan makmal bagi ujian saringan jangkitan COVID-19 yang dijalankan sebanyak dua kali ke atas kes iaitu pada 9 dan 10 Mac juga didapati negatif. 

"Kes disahkan meninggal dunia pada jam 5.45 pagi, 11 Mac di Hospital Miri dan disahkan akibat 'severe Influenza A with multi organ failure',' katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jabatan turut mengucapkan ucapan takziah kepada keluarga pesakit terbabit.

Dalam pada itu, beliau sekali lagi menegaskan bahawa setakat 12 Mac, tiada kes disahkan jangkitan COVID-19 di Sarawak. 

"Orang ramai juga sentiasa diingatkan agar tidak menyebarkan berita atau maklumat yang tidak sahih berkaitan kejadian ini," katanya.

Maklumat terkini berkenaan perkembangan semasa kejadian COVID-19 boleh didapati daripada laman web Kementerian Kesihatan Malaysia; www.moh.gov.my atau berhubung dengan Pejabat Kesihatan Bahagian atau Daerah yang terdekat atau secara terus kepada Pusat Tindak Cepat Krisis (CPRC), JKNS di alamat emel: [email protected] atau di talian 082-443248.

  • oleh
  • Advertisement