Anda di sini

Atlet, pegawai MSSS dalam keadaan baik

Advertisement
SUHARPI.
SUHARPI.

LAHAD DATU: Kesemua 1,793 atlet Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Sabah yang berkampung di daerah ini berada dalam keadaan baik.

Timbalan pengarah kejohanan sukan Olahraga MSSS ke 52, Dr. Suharpi Lasuddang berkata kesemua atlet sedang beraksi dengan penuh semangat kesukanan dan dijaga rapi sepenuhnya.

"Setakat ini, alhamdulillah masih seperti biasa dan jawatankuasa kejohanan sentiasa peka pada arahan dan saranan kesihatan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi susulan kebimbangan ibu bapa mengenai kesihatan mereka berikutan perkembangan terkini terdapat 56 peserta perhimpunan tabligh di sebuah masjid di Kuala Lumpur minggu lalu datangnya dari daerah ini.

Beliau yang juga Penolong Pegawai Pendidikan Daerah menasihatkan agar ibu bapa dan guru sentiasa peka menangani isu Covid-19.

Katanya, mereka tidak perlu panik sehingga menjejaskan persekolahan anak-anak akibat menerima maklumat dari media sosial sebaliknya mendapatkannya dari sumber yang sahih.

Temasya sukan yang berlangsung 10 hingga 14 Mac itu menyediakan 26 lokasi kemudahan penginapan kepada atlet dan pegawai dari 24 daerah yang menyertainya.

Sebanyak 94 pingat menjadi rebutan atlet yang bertanding mengikut tiga kategori iaitu 12 tahun, 15 tahun dan 18 tahun.

  • oleh
  • Advertisement