Anda di sini

Usaha memulihkan hak dan kepentingan Sarawak disegerakan

Advertisement
Muhyiddin ketika mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Putrajaya, hari ini. - Gambar BERNAMA.
Muhyiddin ketika mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Putrajaya, hari ini. - Gambar BERNAMA.

KUCHING: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh hak dan kepentingan Sarawak dan Sabah akan dipinda berpandukan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurutnya, pindaan itu kelak adalah untuk memastikan hak dan kepentingan dua negeri ini dilindungi dan dikembalikan sejajar dengan kehendak warganya dengan secepat mungkin.

"Kita bersetuju bahawa, kita akan memanggil sekali lagi dan buat pertama kali mesyuarat yang membincangkan masalah berkaitan MA63," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet pertamanya di Putrajaya, hari ini.

Keseriusan kerajaan yang baharu dibentuk ini berhubung usaha mengembalikan hak-hak terhakis dibuktikan dengan penubuhan portfolio khas di bawah Jabatan Perdana Menteri - Hal Ehwal Sabah dan Sarawak. Menterinya ialah Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili dari Sabah, dibantu timbalannya dari Sarawak, Datuk Hanifah Hajar Taib.

Perjuangan menuntut hak dan kepentingan Sarawak yang terhakis di bawah MA63 dipelopori bekas Ketua Menteri Allahyarham Tan Sri Adenan Satem dan usaha beliau itu diteruskan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang turut mengadakan perbincangan bersama pemimpin tertinggi kerajaan pusat ketika itu.

Pada tahun 2018, selepas kerajaan pusat bertukar dibawah tadbiran Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, satu jawatankuasa perundingan ditubuhkan bagi membincangkan isu MA63 sebagai usaha berterusan Sarawak ke atas perkara berkenaan.

Malahan kerajaan PH ketika itu cuba untuk meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan pada April tahun lepas namun tidak berjaya apabila gagal mendapat sokongan dua pertiga majoriti daripada jumlah ahli Dewan Rakyat. 

Ahli-ahli Parlimen daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) ketika itu mengambil pendirian berkecuali daripada mengundi, kerana pindaan tersebut tidak memenuhi kehendak mereka.

Selepas kegagalan pindaan berkenaan, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong pada Disember lepas menyatakan, Pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang bertujuan mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi bersama Semenanjung Malaysia akan dibentangkan semula di Dewan Rakyat pada Mac tahun ini.

  • oleh
  • Advertisement