Anda di sini

MCS beri manfaat kepada 82,294 orang tahun lalu

Advertisement
 Alan (tiga dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Tun Juhar.
CENDERAHATI: Alan (tiga dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Tun Juhar.

KOTA KINABALU: Program Perkhidmatan Komuniti Bergerak (MCS) yang dilaksanakan Perbendaharaan Malaysia Sabah, Kementerian Kewangan Malaysia memberi manfaat kepada 82,294 orang pada tahun 2019.

Pegawai Kewangan Persekutuan Sabah Alan Abdul Rahman menjelaskan sepanjang tahun lepas, pihaknya telah mencapai 17 siri berbanding 12 siri yang disasarkan dalam usaha memberikan perkhidmatan kerajaan kepada penduduk luar bandar dan komuniti pedalaman di Sabah.   

"Melalui program MCS, kita dapat menghimpunkan pelbagai perkhidmatan bergerak merentasi pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan dan swasta serta sebagai satu platform untuk membolehkan bantuan kerajaan disalurkan terus kepada kumpulan sasar.

"Aktiviti-aktiviti sepanjang program bertujuan meningkatkan perpaduan dan hubungan silaturahim sesama masyarakat, agensi kerajaan dan pemimpin.

"Dengan itu, kita berharap rakyat dapat mengetahui peranan-peranan agensi yang ditubuhkan oleh kerajaan yang bertujuan memberikan perkhidmatan dan membantu rakyat dengan pelbagai keperluan," katanya.

Tambahnya, daftar ePerolehan, Bengkel ‘Sanang Baitu' turut memberi peluang kepada masyarakat untuk mendaftar lesen Kementerian Kewangan baharu dan diluluskan sijil pendaftaran serta merta di tapak program.

"Inisiatif pertama di Malaysia ini berjaya dilaksanakan oleh Perbendaharaan Malaysia Sabah yang telah memanfaatkan 164 pemohon dari seluruh daerah di Sabah sepanjang 2019," katanya.

Menurut Alan, bagi tahun 2020, program berkenaan akan diteruskan dengan imej dan misi baharu demi kemakmuran rakyat Sabah dengan sasaran 17 siri program di daerah-daerah terpilih termasuk di Pulau Banggi pada 15 Mac ini.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri.

Katanya, kunjungan sulung sejak menyandang jawatan itu pada 18 November 2019 bertujuan memperkenalkan diri serta mendapatkan nasihat daripada Tun Juhar mengenai aspek kebajikan serta kepentingan rakyat di Sabah.

  • oleh
  • Advertisement