Anda di sini

Satu alat pemadam api, mampu selamatkan nyawa dan kediaman dari kebakaran - Khirudin

Advertisement
Khirudin (0
Khirudin (lima kiri) dan Lo (enam kiri) merakam gambar bersama kanak-kanak Tabika Perpaduan Sarawak Serta tetamu yang lain.

KUCHING: Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Khirudin Drahman menggalakkan masyarakat umum untuk memiliki sekurang-kurangnya satu alat pemadam api di rumah. 

Menurut Khirudin, alat pemadam api adalah peralatan penting untuk diletakkan di rumah bagi memadam api daripada merebak jika berlaku kebakaran. 

“Alat pemadam api mudah alih ini tidak begitu mahal dalam lingkungan RM100 lebih seunit. 

“Jika anda mampu untuk sesuatu yang lebih mahal daripada itu, apa sangatlah alat pemadam api yang hanya RM100 lebih,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada penutupan Program Komuniti Bomba bagi 12 kampung di kawasan Batu Kitang di Dewan Serbaguna Semeba di sini hari ini.  

Bercakap mengenai program tersebut, ia menurut Khirudin adalah berbeza daripada kempen kesedaran pencegahan yang biasa kerana menerusi program ini, peserta akan diberikan pendedahan teori dan praktikal. 

“Program ini bukan sahaja dapat menyebarkan kesedaran keselamatan kepada masyarakat tetapi juga sebagai platform untuk jabatan mendekati masyarakat,” katanya. 

Dalam pada itu program dua hari tersebut dihadiri 140 peserta dan antara aktiviti yang dijalankan termasuklah kelas teori dan praktikal mengenai asas keselamatan. 

Selain daripada itu peserta turut didedahkan dengan tugas mereka sebagai anggota bomba dan penyelamat. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang dalam ucapan berkata Bomba Komuniti dilancarkan sejak 2014 untuk menimbulkan kesedaran kes kebakaran dalam kalangan komuniti. 

“Jawatankuasa bomba komuniti diperkenalkan untuk menyediakan pendidikan mengenai keselamatan kebakaran kepada umum. 

“Menerusi bomba komuniti ini, kita berharap peserta dapat membantu dalam sebarang kecemasan di kampung mereka,” kata Lo yang juga Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP). 

Pada majlis tersebut Lo turut menyampaikan gulungan hos api kepada 14 kampung dalam Batu Kitang menggunakan dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP). 
 

Advertisement