Anda di sini

Pengarah penentang di Iran menang hadiah utama festival filem Berlin

Advertisement
 (Dari kiri) produser Farzad Pak, aktres Baran Rasoulof dan produser Kaveh Farnam menerima hadiah filem terbaik bagi pihak pengarah Mohammad Rasoulof semasa Festival Filem Berlin baru-baru ini. — Gambar AFP
MENANG: (Dari kiri) produser Farzad Pak, aktres Baran Rasoulof dan produser Kaveh Farnam menerima hadiah filem terbaik bagi pihak pengarah Mohammad Rasoulof semasa Festival Filem Berlin baru-baru ini. — Gambar AFP

PENGARAH yang menjadi penentang di Iran, Mohammad Rasoulof, baru-baru ini memenangi hadiah utama di Festival Filem Berlin untuk filem ‘There Is No Evil’, satu karya yang amat kritis mengenai hukuman mati di negaranya.

Rasoulof, 48, kini dilarang daripada meninggalkan Iran dan tidak dapat menerima sendiri Anugerah Golden Bear.

Penerbit Farzad Pak, yang menerima anugerah tersebut bagi pihaknya, mengucapkan terima kasih kepada “kru dan barisan pelakon menakjubkan yang membahayakan nyawa mereka untuk menyertai filem ini”.

Filem itu menyampaikan empat kisah individu yang sedikit sebanyak ada kaitan berhubung hukuman mati di Iran, daripada algojo hingga kepada keluarga mangsa.

Majalah industri ‘Variety’ menyifatkannya sebagai “kenyataan kritikal Rasoulof yang paling terbuka setakat ini”.

Rasoulof dijatuhi hukuman penjara selama setahun pada tahun lepas kerana “menyerang keselamatan negara”, dan dilarang daripada membuat filem sepanjang hayat.

Bercakap kepada satu sidang akhbar menerusi telefon bimbit, pengarah itu berkata filemnya yang terbaharu adalah mengenai “memikul tanggungjawab” di bawah sistem pemerintahan kuku besi.

“Anda boleh cuba mengetepikan tanggungjawab anda sendiri dan menyerahkan tanggungjawab kepada kerajaan ... tetapi orang boleh kata tidak,” katanya.

- Drama pengguguran kandungan remaja -

Hadiah naib juara juri dimenangi drama pengguguran kandungan remaja arahan Eliza Hittman ‘Never Rarely Sometimes Always’, yang digemari pengkritik.

Sidney Flanigan membawa watak seorang remaja berusia 17 tahun dari Pennsylvania yang dipaksa untuk pergi ke New York bagi menggugurkan kandungan yang tidak dirancang.

Dipuji kerana empati dan emosinya, solidariti wanita menjadi nadi filem itu, di mana watak-watak lelaki dipinggirkan dan selalunya digambarkan sebagai pemangsa.

Penonton dan pengkritik khususnya terpesona dengan satu adegan satu penggambaran yang tegang di mana watak Flanigan menjawab soalan peribadi di sebuah klinik.

“Ketika saya menyelidiki filem ini, saya menghabiskan masa yang cukup banyak di dalam perancangan keluarga dan klinik lain,” kata Hittman.

Dia menambah, dia rasa “diinsafkan” oleh pengalaman itu, sebelum dia berucap kepada jururawat dan pekerja sosial yang bekerja di klinik sedemikian.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka di atas khidmat mereka yang luar biasa kepada negara-negara kita, kerana melindungi nyawa dan hak semua orang yang mempunyai rahim.”

Kejayaan Hittman dicapai ekoran satu kontroversi terdahulu di festival itu berhubung kenyataan presiden juri Jeremy Irons pada masa lalu tentang pengguguran kandungan dan hak wanita.

Dalam satu temuramah pada 2016 dengan akhbar Guardian, Irons menyatakan pengguguran kandungan “membahayakan seseorang wanita” dan Gereja adalah “betul untuk menyatakan ia adalah satu dosa”.

Di sidang media pembukaannya, ketua juri itu terpaksa menjelaskan bahawa dia menyokong “dengan sepenuh hati hak wanita untuk menjalankan pengguguran jika mereka membuat keputusan untuk berbuat demikian”.

Perdebatan mengenai perwakilan wanita dan pergerakan #MeToo diteruskan sepanjang festival itu, didorong sebahagiannya oleh berita tentang pensabitan kesalahan ke atas Harvey Weinstein atas tuduhan merogol dan melakukan gangguan seksual.

 Produser Farzad Pak memegang telefon yang menunjukkan pengarah Mohammad Rasoulof yang dianugerahkan dengan ‘Golden Bear for Best Film’ semasa sidang media selepas majlis anugerah  festival filem Berlinale ke-70 di Berlin pada 29 Februari lepas. — Gambar AFP
PANGGILAN VIDEO: Produser Farzad Pak memegang telefon yang menunjukkan pengarah Mohammad Rasoulof yang dianugerahkan dengan ‘Golden Bear for Best Film’ semasa sidang media selepas majlis anugerah festival filem Berlinale ke-70 di Berlin pada 29 Februari lepas. — Gambar AFP

Dua pengarah festival baharu Carlo Chatrian dan Mariette Rissenbeek turut dikritik kerana memilih kurang satu filem arahan wanita berbanding pada tahun sebelum itu.

Selain itu, ramai yang berang mengenai filem dari Rusia ‘DAU: Natasha’, di mana pakar sinematografi Juergen Juerges memenangi Anugerah Silver Bear bagi Sumbangan Artistik Cemerlang.

Sebahagian daripada projek kesenian Rusia ‘DAU’ yang kontroversi dan meluas, ia dikecam ramai bagi satu adegan soal siasat yang turut menunjukkan serangan seksual yang grafik.

Pembuat filem itu juga terpaksa menafikan khabar angin tentang penderaan di set penggambaran.

Sebelum majlis anugerah itu, beberapa orang penunjuk perasaan di luar tempat acara membawa sepanduk yang menyebut ‘DAU = keganasan dan penderaan”.

Namun Juerges mempertikaikan dakwaan itu, dan berkata pengarah Ilya Khrzhanovsky “mungkin mencabar batas secara profesional, tetapi dia tidak pernah melampaui batas”.

Seorang lagi warga Jerman, Paula Beer, memenangi Anugerah Aktres Terbaik bagi wataknya dalam filem percintaan bertemakan air arahan Christian Petzold ‘Undine’.

Anugerah bagi Aktor Terbaik dimenangi Elio Germano dari Itali untuk lakonannya bagi pergelutan mental dan fizikal yang dialami pelukis Antonio Ligabue dalam filem ‘Hidden Away’.

“Saya mengabadikan hadiah ini kepada semua orang terbuang, semua orang yang sedikit aneh,” kata pelakon berusia 39 tahun itu.

Germano turut berlakon dalam filem ‘Bad Tales’ arahan adik-beradik dari Itali, Fabio dan Damiano D’Innocenzo, yang memenangi Anugerah Lakon Layar Terbaik.

Anugerah bagi Pengarah Terbaik dimenangi Hong Sangsoo dari Korea Selatan untuk ‘The Woman Who Ran’, sebuah filem minimalistik tentang seorang wanita dengan suami yang sedang melakukan urusan perniagaan di tempat lain.

Majalah industri IndieWire menggambarkan filem itu sebagai satu “gambaran yang menawan tentang wanita pintar yang berurusan dengan lelaki menjengkelkan”.

‘Delete History’, sebuah komedi Perancis tentang masyarakat pada zaman internet, memenangi Anugerah ‘Silver Bear’ Ulang Tahun Ke-70.

Hadiah itu menggantikan anugerah tradisional ‘Alfred Bauer Prize’, yang dikeluarkan dari senarai anugerah ‘Silver Bears’ selepas ia didedahkan bahawa Bauer, pengarah yang mengasaskan Berlinale, adalah seorang Nazi yang berpangkat tinggi. — AFP

Advertisement