Anda di sini

ADUN Sabah sokong penuh kepimpinan KM

Advertisement
JAMAWI
JAMAWI

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dari blok kerajaan menzahirkan sokongan padu mereka terhadap kepimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Jamawi Jaafar berkata, beliau diberikan jaminan oleh rakan-rakan wakil rakyat kerajaan akan terus menyokong kepimpinan Ketua Menteri.

"Wakil rakyat dari blok kerajaan telah memberi jaminan mereka akan terus menyokong kepimpinan Ketua Menteri untuk terus menerajui kepimpinan kerajaan negeri sekali pun berlaku perubahan di peringkat kerajaan Pusat," katanya.

Jamawi yang juga ADUN Kemabong berkata demikian sebagai mengulas beberapa spekulasi ketika ini konon wujudnya usaha beberapa wakil rakyat kerajaan keluar parti.

"Beberapa spekulasi serta komen-komen daripada penganalisa politik kononnya akan berlaku perubahan kepimpinan di Sabah adalah merupakan satu tuduhan melulu dan tidak benar," katanya dalam kenyataan di sini.

Katanya, sebagai pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan di DUN Sabah, beliau mendapat jaminan daripada semua wakil rakyat kerajaan yang menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Ketua Menteri untuk terus memacu pembangunan dan ekonomi negeri Sabah.

Tambahnya sebagai wakil rakyat, masih banyak lagi tanggungjawab untuk dilunaskan kepada rakyat di kawasan masing-masing yang seharusnya perlu diberikan perhatian selari dengan fokus kerajaan negeri dibawah kepimpinan Shafie untuk terus memperkasakan pembangunan dan peningkatan ekonomi rakyat di negeri ini.

Dalam perkembangan yang sama Jamawi berkata, wakil-wakil rakyat kerajaan bersetuju untuk memberikan sepenuhnya kepercayaan kepada Ketua Menteri dalam menentukan hubungan negeri dan Persekutuan.

"Kita yakin dan percaya bahawa kepentingan rakyat dan negeri Sabah sentiasa menjadi keutamaan Ketua Menteri," katanya.

Untuk rekod kerajaan negeri ketika ini diwakili seramai 43 orang wakil rakyat dari kerajaan.

Advertisement