Anda di sini

Rogol: Buruh kasar dipenjara 25 tahun, 14 sebatan

Advertisement
 

SANDAKAN: Seorang buruh kasar dijatuhkan hukuman penjara selama 25 tahun dan 14 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah merogol seorang wanita, tahun lalu.

Hakim Indra Haji Ayub menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh yang berumur 39 tahun selepas mengaku bersalah merogol mangsa di sebuah rumah setinggan, Batu 2 1/2 Kampung Muhibbah Bukit, di sini kira-kira jam 4 pagi pada 21 Ogos 2019.

Menurut kertas pertuduhan, mangsa terjaga dari tidur kerana menyedari ada benda diletakkan di lehernya dan apabila membuka mata mendapati tertuduh sambil memakai topeng, mengarahkan mangsa untuk diam sekiranya tidak mahu diapa-apakan.

Tertuduh kemudiannya memaksa mangsa yang berusia 22 tahun untuk membuka seluarnya dan telah merogol mangsa sebelum melarikan diri selepas itu.

Bertindak atas maklumat, tertuduh yang tidak mempunyai keterangan diri telah berjaya ditangkap oleh pihak polis di tepi jalan Taman Perumahan Nasalim, Jalan Lintas Utara kira-kira jam 1 petang pada hari yang sama.

Hasil siasatan mendapati tertuduh mengaku pergi ke rumah mangsa pada awal pagi selepas menghisap syabu dan telah merogol mangsa tanpa kerelaannya dengan meletakkan ketakutan kematian kepadanya kerana ada menyimpan dendam dengan mangsa.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Mark Kenneth Netto manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement