Anda di sini

Kemiskinan bukan penghalang kecapi kejayaan: Ewon

Advertisement
 Ewon memberikan kata-kata semangat kepada pelajar yang menyertai seminar itu.
KATA-KATA SEMANGAT: Ewon memberikan kata-kata semangat kepada pelajar yang menyertai seminar itu.

KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick berkata, ibu bapa khususnya di kawasan luar bandar tidak seharusnya menjadikan kemiskinan hidup sebagai alasan mengabaikan pendidikan anak-anak mereka.

Beliau berkata, sebaliknya kesusahan hidup seharusnya dijadikan sebagai pendorong kepada anak-anak belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai keputusan cemerlang seterusnya mengubah taraf kehidupan keluarga pada masa depan.

“Bagi membantu para pelajar dari negeri ini yang layak melanjutkan pelajaran ke Institusi-institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) di dalam dan luar negara, kerajaan negeri menyedia dan menawarkan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah dengan peruntukan sebanyak RM52 juta pada tahun ini.

“Bantuan ini dijangka akan memberikan faedah kepada kira-kira 1,200 orang pelajar daripada kalangan anak-anak tempatan pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Kecemerlangan Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) peringkat daerah Kota Belud anjuran Persatuan Graduan Dusun Tindal dan Tobilung (Gratto), di Dewan SRJK Chung Hwa Kota Belud, di sini.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berharap program seumpama ini dapat membantu para pelajar menghadapi peperiksaan SPM dan STPM tahun ini seterusnya memperolehi keputusan cemerlang.

Seminar itu disertai lebih 500 pelajar Tingkatan 5 dan 6 dari sembilan buah sekolah menengah dalam kawasan Kota Belud antaranya SMK Narinang, SMK Taun Gusi 2, SMK Pekan, SMK Agama Tun Said, SMK Usukan, SMK Taun Gusi dan SMK  Tambulion.

Turut hadir Presiden Gratto Kassim Buliwan, wakil daripada Pejabat Pendidikan Daerah Kota Belud dan pengetua-pengetua sekolah.

Advertisement