Anda di sini

Dokumen tular adalah sah tetapi bukan positif COVID-19

Advertisement
FRANKIE
FRANKIE

KOTA KINABALU: Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Frankie Poon mengesahkan bahawa dokumen membabitkan seorang wanita disyaki dijangkiti COVID-19 yang tular di media sosial adalah benar.

Katanya, surat berkenaan dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu yang menyatakan individu terbabit dinasihatkan untuk kuarantinkan diri di dalam rumah.

"Individu itu hanya disyaki disebabkan mempunyai hubungan rapat dengan seseorang yang mempunyai kes positif COVID-19.

"Wanita itu kemudiannya dinasihatkan untuk mengkuarantinkan dirinya di dalam rumah," katanya ketika menjawab soalan apabila ditanya dalam group WhatsApp, KKKR Media Group di sini kelmarin.

Katanya, surat yang ditularkan itu adalah bertarikh 26 Februari dan laporan COVID-19 yang dikeluarkan oleh kementeriannya untuk pengetahuan umum adalah terbaharu.

Oleh itu katanya, Sabah tidak mempunyai kes positif COVID-19 dan sekaligus menjadikan negeri ini masih bebas daripada wabak berkenaan.

Sehingga kini, terdapat 79 kes dikategorikan sebagai Pengesanan Kes Yang Disyaki (PUI) COVID-19 di Sabah. Sejumlah 47 sampel sudah diambil dan kesemuanya adalah negatif.

Kesemua kes terbabit melibatkan 48 warga China, 27 warganegara Malaysia, masing-masing seorang dari Filipina, Jordan, Myanmar dan Bangladesh.




 

  • oleh
  • Advertisement