Anda di sini

Penipuan kerja di Kemboja, tertuduh dilepas dan dibebaskan

Advertisement
 

KUCHING: Seorang penganggur yang didakwa atas pertuduhan penipuan kerja di Kemboja dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Nuruhuda Mohd Yusof memutuskan demikian setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Mohd Ghafar Abd. Jamal, 27.

Majistret Zaiton Anuar yang mewakili Nuruhuda dalam menyampaikan keputusan mahkamah hari ini juga berkata, keputusan dibuat bersandarkan beberapa perkara termasuk mengambil kira faktor pihak pendakwaan yang gagal membuktikan intipati pertuduhan.

Peguam yang mewakili tertuduh iaitu Osman Ibrahim dan Fadzillah Osman dalam penghujahan mereka berkata, tiada unsur penipuan dalam kes ini.

Hal ini kerana mangsa berusia 26 tahun itu pergi ke Kemboja pada 23 November 2018 atas kemahuannya sendiri. 

Semasa pemeriksaan soal balas dijalankan, mangsa mengaku bahawa dia telah bekerja selama bertahun-tahun di Sarawak sebelum pergi ke Kemboja. 

Mangsa turut bersetuju dengan pihak pembelaan yang menyatakan bahawa dia sememangnya sedia maklum mengenai prosedur kerja dan apabila hendak bekerja di luar negara, seseorang itu perlu mempunyai permit.

Dalam pada itu, mangsa mengaku bahawa dia tidak mempunyai sebarang permit kerja dan atas sebab itu, dia pergi ke Kemboja tanpa pengetahuan ahli keluarganya. 

Mangsa juga dikatakan bersetuju bahawa sekiranya apa-apa terjadi semasa berada di Kemboja contohnya seperti ditangkap oleh pihak berkuasa, dia akan menanggung akibatnya.

Pada 2 Mei tahun lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menipu dua warga Sarawak, masing-masing berusia 21 dan 26 tahun, di bawah Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan.

Dia didakwa menipu mangsa pertama di perumahan berdekatan Jalan Matang pada September 2018 dan kemudiannya menipu mangsa kedua di sebuah rumah penginapan di Jalan Tun Abang Haji Openg pada 22 November 2018.

Tertuduh turut dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan menipu mangsa pertama berikutan mangsa dalam kes ini gagal hadir ke mahkamah. 

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Mahmah Zulhasnan.

Pada tahun 2018, 47 rakyat Malaysia berusia 18 hingga 21 tahun yang dikatakan ditipu oleh sindiket ejen pekerjaan ditahan di sebuah penjara di Kemboja.

Kesemua 47 rakyat Malaysia, termasuk 40 dari Sarawak, dibebaskan dari penjara Wilayah Banteay Meanchey, Kemboja dan tiba di tanah air pada 17 Februari 2019.

  • oleh
  • Advertisement