Anda di sini

Usahawan wanita Sabah berpeluang tembusi pasaran global melalui Singapura

Advertisement
 Khatijah (tengah) mempelawa usahawan IKS wanita tempatan supaya merebut peluang perniagaan untuk mengeksport produk mereka ke Singapura.
PELAWA: Khatijah (tengah) mempelawa usahawan IKS wanita tempatan supaya merebut peluang perniagaan untuk mengeksport produk mereka ke Singapura.

KOTA KINABALU: Usahawan wanita Sabah diajak merebut peluang perniagaan dalam pasaran Singapura yang disifatkan sebagai pintu masuk ideal menembusi pasaran global.

Pelawaan berkenaan dilontarkan Presiden Persatuan Usahawan Industri Kecil dan Sederhana Wanita Bumiputera (IKSNita) Sabah Datuk Dg Hajah Khatijah Datu Bachtiyal.

"IKSNita Sabah mempunyai pengalaman menyertai fiesta keusahawanan di Singapura sebelum ini dan kita dapati semua produk yang dibawa habis terjual di sana," katanya.

Khatijah berkata demikian pada sidang media di sini, sempena Women’s Inspirations and Motivations Summit (WIMS) 2020 yang akan diadakan bulan hadapan.

Mengulas lanjut, beliau berkata antara peluang perniagaan yang dilihat berpotensi besar untuk dipasarkan di Singapura adalah seperti makanan tradisi Sabah, sambal dan kraf tangan.

"Sila rebut peluang yang ada kerana pasaran Singapura menarik kehadiran usahawan dari serata dunia dan boleh dianggap sebagai ‘pintu masuk’ ke pasaran global," katanya.

Sejajar dengan itu juga, beliau berkata IKSNita turut mengundang Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) untuk mengambil bahagian dalam WIMS 2020.

Menurutnya, pertubuhan usahawan dari negara jiran itu juga sudah mengesahkan kehadiran dan akan turut terlibat dalam beberapa pengisian termasuk padanan perniagaan.

"Sebab itu juga, dalam WIMS 2020 kita membuat pilihan untuk melibatkan syarikat atau usahawan yang memiliki produk berdaya saing serta berpotensi dieksport ke luar negara.

"WIMS adalah platform untuk usahawan kita meluaskan lagi jaringan perniagaan dan menyemarakkan semangat keusahawanan sehingga peringkat global," katanya.

Pada masa sama, program pembangunan keusahawanan melibatkan wanita muda Sabah turut diperkenalkan oleh IKSNita sebagai inisiatif mereka membela nasib golongan itu.


 

  • oleh
  • Advertisement