Anda di sini

Pelaksanaan dasar kerajaan untuk manfaat rakyat diteruskan

Advertisement
 Ketua-ketua jabatan dan badan berkanun Persekutuan bergambar kenangan bersama Samsuni (tengah) sebelum mesyuarat bermula semalam. - Gambar Jabatan Penerangan
KENANGAN: Ketua-ketua jabatan dan badan berkanun Persekutuan bergambar kenangan bersama Samsuni (tengah) sebelum mesyuarat bermula. - Gambar Jabatan Penerangan

KOTA KINABALU: Pelaksanaan dasar-dasar yang diputuskan oleh kerajaan persekutuan untuk manfaat rakyat sebelum ini diteruskan di negeri ini, kata Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Samsuni Mohd Nor.

Beliau berkata apa juga senario politik yang berlaku di peringkat kerajaan persekutuan tidak menjejaskan matlamat jabatan dan agensi berkanun persekutuan di negeri ini dalam melaksanakan dasar-dasar untuk faedah rakyat.

"Sebagai penjawat awam, matlamat dan peranan kami adalah profesional...kami adalah berkecuali, kami berkhidmat kepada kerajaan...kerana kami (penjawat awam) merupakan pelaksana dasar," katanya kepada pemberita sebelum mengadakan Mesyuarat Perhubungan Ketua-Ketua Jabatan dan Badan Berkanun Persekutuan di sini.

Samsuni berkata buat masa ini, penjawat awam berpegang kepada dasar semasa yang sudah diputuskan dan masih banyak belum dilaksanakan.

"Yang penting peranan kami, tanggungjawab kami melaksanakan (dasar kerajaan) sepertimana telah ditetapkan dalam Aku Janji ketika berikrar sebagai penjawat awam," katanya sambil mengingatkan penjawat awam persekutuan di negeri ini untuk mengelak daripada terlibat langsung dalam aktiviti politik. 

Mengenai mesyuarat itu, Samsuni berkata ia diadakan tiga kali setahun dan penting sebagai plaltform ketua jabatan dan badan berkanun persekutuan untuk berinteraksi bagi memastikan penyampaian perkhidmatan dan pelaksanaan dasar kepada rakyat dilaksana dengan berkesan.

"Kami berbincang bagaimana cara untuk memastikan bahawa penyampaian perkhidmatan sesuai dan selari dengan kehendak dan jangkaan rakyat negari Sabah," katanya - BERNAMA
 

Advertisement