Anda di sini

SMK Lutong Miri, SM Lodge Kuching juara bahas SSIDC

Advertisement
 Pelajar dari 34 sekolah dari seluruh Malaysia semasa upacara penyampaian hadiah.
MENDAPAT SAMBUTAN: Pelajar dari 34 sekolah dari seluruh Malaysia semasa upacara penyampaian hadiah.

KUCHING: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lutong Miri menjuarai Kejohanan Perbahasan Antara Sekolah Swinburne Sarawak (SSIDC) Ke-15 bagi kategori senior baru-baru ini.

Sejak penubuhan SSIDC pada 2006, SMK Lutong merupakan pasukan pertama dari Miri yang memenangi kejohanan debat tersebut.

Sementara itu, SM Lodge menjuarai kategori junior menewaskan pasukan SMK Batu Lintang.

Seramai 306 pelajar menyertai kejohanan tahun ini yang terdiri daripada 68 pasukan kategori senior dan 34 pasukan kategori junior.

Kejohanan yang diadakan di Swinburne University of Technology Kampus Sarawak (Swinburne Sarawak) itu juga menyaksikan penglibatan 34 sekolah, termasuk empat sekolah dari Semenanjung Malaysia.

Majoriti pasukan datang dari Kuching manakala sekolah-sekolah lain termasuk dari Bintulu, Mukah, Sarikei dan Miri.

Menariknya, Sekolah Menengah Sabah Tshung Tsin merupakan sekolah pertama dari Sabah yang menyertai SSIDC.

Timbalan Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif Swinburne Sarawak Profesor John Wilson pada majlis penyampaian anugerah memuji semua pelajar yang mengambil bahagian dalam kejohanan terbabit.

“Ia membantu dalam membangunkan pemikiran kritis dan kemahiran pidato yang akan membantu mereka dalam pengajian di universiti dan tempat kerja pada masa depan,” ujarnya.

Tema perdebatan tahun ini termasuk pendidikan, kesihatan, undang-undang, sukan dan teknologi.

Advertisement