Anda di sini

Tambadau Sabah beri keutamaan sama semua pertandingan

Advertisement
PETER ANTHONY
PETER ANTHONY

KOTA KINABALU: Skuad Tambadau Sabah akan beri keutamaan sama kepada semua pertandingan yang disertai dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Peter Anthony berkata, selain saingan Liga Super, mereka juga akan berjuang habis-habisan dalam saingan Piala FA dan Piala Malaysia dengan sasaran menjulang sekurang-kurangnya salah satu piala.

Selepas beberapa perlawanan Liga Super bermula 1 Mac depan, Tambadau Sabah dijadualkan akan memulakan aksi dalam saingan Piala FA menentang Kuala Lumpur di gelanggang sendiri pada 17 atau 18 Mac.

"Sudah agak lama pasukan ini  sering tenggelam dalam saingan Piala FA dan kali ini kita harus buktikan yang Tambadau juga mampu cipta kejutan.

"Kita akan bersiap sedia untuk menghadapi Piala FA seperti mana kita bersiap sedia menghadapi Liga Super," kata Peter ketika ditemui di sini, kelmarin.

Peter turut berharap para pemain akan memberi aksi terbaik seterusnya mencatat keputusan baik di awal saingan Liga Super nanti bagi memastikan momentum baik berterusan sehingga aksi pertama Piala FA bertemu Kuala Lumpur.

"Sebelum kita mulakan saingan Piala FA kita lebih dulu menghadapi beberapa perlawanan dalam Liga Super dan adalah penting untuk kita mencatat keputusan positif bagi meneruskan momentum apabila menentang Kuala Lumpur nanti," katanya.

Kali terakhir Sabah menjulang Piala FA ialah pada 25 tahun lalu (1995) iaitu ketika menewaskan Pahang 3-1 dalam aksi final di Stadium Merdeka ketika itu.

  • oleh
  • Advertisement