Anda di sini

Pameran Pelancongan Malaysia buka peluang kepada semua tawarkan produk pelancongan

Advertisement
MOHD KHALID HARUN
MOHD KHALID HARUN

KUALA LUMPUR: Pameran Pelancongan Malaysia (MTF) yang bakal berlangsung pada 13 hingga 15 Mac ini di Pusat Dagangan Dunia (WTC) dilihat sebagai satu peluang bagi agensi pelancongan tempatan untuk mempamer dan mempromosikan produk mereka kepada orang awam dan pelancong luar negara.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Mohd Khalid Harun berkata, pihaknya membuka peluang kepada mana-mana agensi pelancongan dan individu untuk menyertai MTF dengan menyediakan lebih daripada 1,500 ruang pameran kepada mereka.

“Kami menerima penyertaan sesiapa sahaja yang ingin menyertai MTF sama ada agensi pelancongan dari syarikat besar mahupun individu dengan syarat mereka mempunyai lesen perniagaan yang berkaitan.”

“Kita nak bagi peluang pada pengusaha tempatan terutamanya agensi kecil untuk mempromosikan produk mereka dan sehingga hari ini, sebanyak 50 peratus daripada ruang pameran telah terjual.”

“Uniknya MTF kali ini, format pameran memberi peluang kepada pempamer menentukan sendiri kedudukan mereka akan tetapi ianya bergantung pada kepada siapa yang paling awal mendaftar,” katanya pada wartawan Utusan Borneo pada sesi wawancara khas di ibu pejabat MATA, WTC baru-baru ini.

Menurut Datuk Khalid lagi, pameran MTF ini mendapat sokongan sepenuhnya dari Tourism Malaysia, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan Kementerian Kewangan Malaysia.

“Pameran ini juga adalah salah satu daripada inisiatif kami untuk menggalakkan pelancongan domestik di samping membantu peserta memasarkan produk pelancongan mereka yang lain seperti ke negara di rantau Asean, Eropah dan sebagainya.”

“MTF ini diadakan dalam skala yang besar supaya ianya dapat memberi impak yang baik terhadap industri pelancongan negara,”tambah beliau.

Ditanya kenapa MATA tetap meneruskan MTF walaupun berdepan dengan isu penularan jangkitan koronavirus (COVID-19), Datuk Khalid menjelaskan bahawa pameran pelancongan ini adalah langkah proaktif yang diambil oleh MATA dalam mengembalikan keyakinan terhadap produk pelancongan tempatan.

Melalui MTF ini, kami dapat membantu ahli MATA yang banyak kehilangan tempahan pakej pelancongan ekoran isu jangkitan COVID-19.  Lebih 100,000  tempahan hotel dibatalkan yang melibatkan kerugian sebanyak RM50 juta,”

“Oleh yang demikian, kami terpanggil untuk membantu mereka dengan menganjurkan MTF ini sekali gus dapat merancakkan kembali industri pelancongan negara selari dengan Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020).

“Pada masa sama kami turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengelak sebarang isu yang tidak diingini berlaku.”

“Kita akan pantau dan pastikan para pengunjung dan pempamer mematuhi langkah panduan perlindungan kesihatan yang telah diberikan oleh pihak KKM.”

“Kami juga ingin memaklumkan bahawa Malaysia adalah selamat dikunjungi kerana setakat ini jangkitan COVID-19 tidak terlalu serius di negara ini dan masyarakat tidak perlu berasa panik.”

“Selain itu, kami turut memperkenalkan hashtag #MalaysiaIsSafe #MalaysiaSelamat #MalaysiaTravelFair bagi meyakinkan pelancong-pelancong tempatan dan asing untuk melanggan pakej-pakej menarik menerusi MTF,” katanya.

MTF adalah pameran pelancongan yang melibatkan semua syarikat yang terlibat didalam industri pelancongan. Ini termasuklah hotel, agensi pelancongan, syarikat penerbangan, institusi kewangan, syarikat tempahan online, penyewa kenderaan, pembekal bagasi, pakaian dan banyak lagi.

Kepada yang berminat untuk menyertai pameran atau untuk sebarang pertanyaan, anda boleh menghubungi Puan Izyan Diyana di talian 0162618014 / 0340507188 atau e-mel kepada [email protected]

Untuk maklumat lanjut mengenai MTF, anda boleh melayari laman web https://mytravelmarkets.events/.

  • oleh
  • Advertisement