Anda di sini

Lima pelajar dipilih sertai SEAYLP pada April depan

Advertisement
 Mentor Shahshi Davien Thomas (kanan),  Azizan (dua kiri), Gwyneth (dua kanan) serta tiga pelajar berjaya menjadi wakil ke USA.
WAKIL: Mentor Shahshi Davien Thomas (kanan), Azizan (dua kiri), Gwyneth (dua kanan) serta tiga pelajar berjaya menjadi wakil ke USA.

TAWAU: Lima pelajar dari pantai timur Sabah dipilih untuk menyertai Program Kepimpinan Belia Asia Tenggara (SEAYLP) yang diadakan di Amerika Syarikat (USA) pada April depan.

Program ini diadakan bersempena dengan sambutan 'Beyond the Moon' iaitu program meraikan ulang tahun ke-50 pendaratan Kapal Angkasa Apollo 11 di bulan.

Disamping itu, ianya juga untuk promosi mata pelajaran STEM (Science , Technology, Engineering and Mathematics) dan promosi melanjutkan pelajaran ke USA.

Penolong Pegawai Urusan Kebudayaan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur Sarah J. Talalay berkata, program ini merupakan pertukaran pelajar sekolah menengah dan mentor yang melibatkan 10 negara ASEAN ke Amerika Syarikat selama tiga minggu.

"Kita sudah mula mengadakan program seperti ini sejak tahun 2009 lagi dan ini merupakan tahun ke-11, namun tahun ini buat julung kalinya kita membuat pengambilan untuk pelajar-pelajar di pantai timur Sabah khasnya di Tawau dan Semporna," katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui dalam majlis memperkenalkan peserta SEAYLP sesi 2020 dari Tawau dan Semporna di Dewan Perpustakaan, di sini.

Menurutnya, pengisian yang akan diberikan kepada peserta yang terpilih kali ini lebih kepada penumpuan terhadap aspek kepimpinan dan kerja sosial supaya mereka dapat mengaplikasikannya apabila balik ke tanah air nanti.

"Kita mahukan semua pelajar yang dipilih itu nanti akan menjalankan projek-projek kerja sosial sama ada secara berseorangan ataupun berkumpulan khususnya di Tawau dan Semporna," katanya.

Pengarah Porgram SEAYLP Anastasia Cosher pula berkata, pelajar yang terpilih akan mempelajari beberapa perkara dalam aspek kepimpinan disamping menjalankan bengkel yang menerapkan kemahiran yang boleh mereka aplikasikan dalam pelan tindakan.

"Kita akan menekankan pelan tindakan khususnya mempelajari prinsip kerja sosial bermula dari mengenal masalah sehinggalah penentuan cara untuk membantu komuniti.

"Diakhir program itu nanti, pelajar akan diminta untuk membuat pembentangan berkaitan kerja sosial yang akan mereka lakukan dan kita memberi kebebasan kepada pelajar untuk menentukan kawasan projek yang ingin mereka jalankan.

"Pihak penganjur akan sentiasa mengikuti perkembangan pelajar-pelajar ini dan melihat sejauh mana keberkesanan projek yang mereka jalankan," katanya.

Pelajar Muhammad Azizan Totik, 16, dari  SMK Bum Bum, Semporna berkata sangat teruja dan sedikit bimbang sebab pertama kali untuk ke luar negara dan bimbang juga sebab program ini berlangsung pada bulan Ramadan yang merupakan cabaran yang sangat besar.

"Saya akan sahut cabaran ini sebagai medium untuk memperbaiki penguasaan bahasa Inggeris dan kemahiran kepimpinan.

"Saya sangat suka bahasa Inggeris dan walaupun saya berasal daripada pulau yang kecil tetapi kami mempunyai guru bahasa Inggeris yang sangat mengagumkan. Saya berharap suatu hari nanti, saya dapat memberi perubahan kepada daerah Semporna," katanya.

Manakala Gwyneth Valencia Ortiz, 17, dari SM St. Patrick, Tawau  berkata mendapat tahu dipilih sebagai salah seorang pelajar yang akan menyertai program ini, secara jujurnya sangat teruja dan tidak sabar untuk pergi ke USA.

"Saya memang mempunyai impian untuk ke USA kerana negara itu merupakan tempat impian dan kegemaran saya. Sebaik mendapat tahu berjaya terpilih ke program ini, saya bertekad untuk melakukannya dengan bersungguh-sungguh.

"Perkara pertama yang saya fikir, ini merupakan peluang yang sangat besar untuk memperbaiki diri dan mempelajari sesuatu yang baharu.

"Sebagai persediaan, saya banyak melakukan kajian berkenaan porgram ini di YouTube dan mengambil komen-komen pelajar-pelajar yang sudah melalui program ini," katanya.

Untuk rekod lima pelajar yang terpilih ialah Gwyneth Valencia Ortiz, SM St. Patrick Tawau, Vagish Krishnan, SM St. Patrick Tawau, Ha Hen Bin. Vision Secondary School Tawau, Muhammad Azizan Totik, SMK Bum Bum Semporna dan Siti Juliana Sahaawi, SMK Bum Bum Semporna manakala mentornya Shahshi Davien Thomas dari SMK Kinabutan Tawau.



 

  • oleh
  • Advertisement