Anda di sini

Dr Mahathir letak jawatan sebagai Perdana Menteri, Pengerusi BERSATU

Advertisement
Dr Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, hari ini. - Gambar fail Bernama
Dr Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, hari ini. - Gambar fail Bernama

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini meletak jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Pejabat Perdana Menteri mengumumkan dalam satu kenyataan bahawa Dr Mahathir telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Tun Dr Mahathir bin Mohamad menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia hari ini. Surat itu telah dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong pada 1 tengah hari,” kata kenyataan itu.

Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh negara pada 10 Mei, 2018, selepas menerajui Pakatan Harapan (PH) untuk menjatuhkan apa yang beliau gelar sebagai kerajaan kleptokratik.

Dengan peletakan jawatan beliau sebagai perdana menteri hari ini, gabungan kerajaan Pakatan Harapan yang dianggotai empat parti secara praktikalnya telah runtuh.

Dr Mahathir telah menyerahkan surat peletakan jawatan beliau sebagai pengerusi Bersatu ke ibu pejabat parti, menurut kenyataan daripada pejabat pengerusi BERSATU.

BERSATU juga telah keluar daripada gabungan PH.

Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata dalam kenyataan bahawa keputusan untuk keluar daripada gabungan itu dibuat pada mesyuarat khas pemimpin tertinggi parti itu semalam.

Peletakan jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu oleh Dr Mahathir telah mengejutkan semua orang berikutan beliau telah berulang kali menyatakan mahu kekal sebagai PM sehingga selepas Malaysia menjadi tuan rumah mesyuarat APEC pada November.

Tanda-tanda kepada pengumuman dramatik hari ini bermula apabila mesyuarat Majlis Presiden PH pada Jumaat lepas dilaporkan berlangsung dalam suasana tegang berhubung janji peralihan kuasa.

Bagaimanapun, Dr Mahathir memberitahu sidang akhbar kemudiannya bahawa mesyuarat itu memutuskan bahawa beliau mempunyai kata putus berhubung bila akan meletak jawatan selepas mesyuarat APEC. 

Semalam, bagaimanapun, parti-parti politik daripada pihak kerajaan dan pembangkang telah mengadakan mesyuarat berasingan yang membawa kepada spekulasi berhubung kemungkinan pembentukan gabungan baharu kerajaan dengan rakan berbeza. - Bernama

Advertisement