Anda di sini

Pemburu ditahan, tiga bakakuk dirampas

Advertisement
 Tiga laras bakakuk dan dua peluru hidup yang dirampas daripada suspek dipercayai untuk kegiatan pemburuan haram.
RAMPAS: Tiga laras bakakuk dan dua peluru hidup yang dirampas daripada suspek dipercayai untuk kegiatan pemburuan haram.

BEAUFORT: Helah seorang lelaki yang berpura-pura membuat laporan polis berkenaan kehilangan kereta anaknya sebaik menjalankan kegiatan memburu secara haram di sini membawa padah selepas ditahan polis di Balai Polis Kuala Penyu di sini.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, kejadian berlaku apabila pihak polis mengesan sebuah kereta jenis kompak di kawasan ladang ternakan kerbau di Kampung Padas Damit kira-kira jam 5.30 petang.

“Semasa menjalankan siasatan, polis kemudiannya terdengar bunyi tembakan yang dilepaskan di kawasan kebun kelapa sawit sebelum bergegas ke arah bunyi terbabit.

“Polis kemudiannya menemukan tiga lelaki masing-masing memegang senjata buatan sendiri atau bakakuk sebelum ketiga-tiga mereka berpura-pura memberikan kerjasama dengan menyerahkan senjata berkenaan kepada pihak polis,” katanya.

Azmir berkata sebaik sahaja suspek meletakkan senjata berkenaan, mereka bertindak melarikan diri ke kawasan hutan dengan membawa bersama salah satu senjata terbabit.

“Semasa operasi mengejar suspek, polis menemukan satu laras senjata bakakuk bersama dua peluru hidup yang ditinggalkan suspek di dalam hutan itu, bagaimanapun suspek sudah menghilangkan diri.

“Hasil pemeriksaan terhadap kereta yang ditinggalkan berjaya mengesan kedudukan rumah suspek dan polis meneruskan operasi ke alamat terbabit yang terletak di Kuala Penyu,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata hasil soal siasat dijalankan mendapati suspek didakwa sedang membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Penyu berkenaan kereta anaknya yang didakwa hilang kerana dicuri.

“Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1969.

“Kita juga sedang menjalankan siasatan bagi mengesan baki dua lagi rakan suspek yang menghilangkan diri,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement