Anda di sini

KPKT komited selesai isu setinggan atas air

Advertisement
 Zuraida ketika melawat sekitar kawasan PPR Sungai Manila.
TINJAU: Zuraida ketika melawat sekitar kawasan PPR Sungai Manila.

SANDAKAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) komited menyelesaikan isu perkampungan setinggan atas air di daerah ini dengan memindahkan penduduk tempatan ke beberapa projek rumah mampu milik.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata, ia termasuk memindahkan mereka yang layak ke Skim Perumahan Rakyat Malaysia (PR1MA) Borneo Cove yang mempunyai sebanyak 1,750 unit rumah dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Putih (900 unit).

Katanya, perbincangan oleh pihak berkaitan perlu diadakan bagi membolehkan penduduk dapat mengisi kekosongan di PR1MA Borneo Cove dengan secepat mungkin.

Manakala, katanya PPR Batu Putih akan menjalankan proses pendaftaran permohonan selama tiga hari bermula pada Isnin (24 Februari) di Dewan Libaran.

"Dalam masa yang sama, saya juga telah melawat tapak dan meluluskan lagi 1,000 unit rumah mampu milik untuk dibina di kawasan seluas 50 ekar di Kampung Batu 10. Ini bagi menyelesaikan masalah setinggan di Sungai Batang.

"Dan saya diberitahu terdapat lagi 41 tapak tanah di Sandakan yang boleh ditawarkan kepada KPKT sekiranya terdapat keperluan bagi membina rumah untuk rakyat. Ini kita kena bincang dan lawat dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas selesai menghadiri Taklimat Pembangunan di Dewan Persidangan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) di sini.

Hadir sama, Presiden MPS Wong Foo Tin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura Calvin Chong Ket Kiun dan ADUN Dilantik Jaffari Waliam.

Terdahulu, Zuraida yang meluangkan masa melawat PPR Sungai Manila turut berpuas hati dengan suasana di perumahan itu selain komunitinya yang berdisiplin.

Beliau turut meluluskan permohonan bagi pemasangan pagar selain menaiktaraf dewan dengan memasang penghawa dingin untuk kegunaan tadika, perpustakaan, sukan dalam bangunan serta kelas KAFA.

Dalam pada itu, Zuraida berkata pihak kementerian turut mengambil berat dengan sistem pelupusan sampah di daerah ini.

"Walaupun negeri ini mempunyai autonomi, namun dalam aspek kebersihan KPKT mahu bantu pelupusan sampah di Sabah agar lebih tersusun dan menggunakan teknologi yang tinggi agar dapat memberi imej yang baik.

"Oleh itu, kita akan bawa pakar pengurusan sampah untk berbincang dengan MPS dan bawa satu modul macam mana mahu menguruskan sampah di Sandakan meliputi aspek penyediaan tong sampah, plastik sampah, pusat kitar semula dan juga melatih rakyat untuk menjadikan sampah kepada duit (Trash to Cash).

"Sekiranya program yang telah dibuat KPKT ini dapat dilaksanakan di Sandakan, sudah pasti ekonomi setempat dan juga tahap kebersihan akan meningkat. Ini juga salah satu langkah persediaan Sandakan yang berhasrat mahu mencapai taraf bandaraya pada tahun depan," jelasnya.

  • oleh
  • Advertisement