Anda di sini

Cadangan pinda Perkara 16 Perlembagaan Sarawak munasabah mengikut perubahan semasa - Fatimah

Advertisement
Fatimah ketika ditemui pemberita hari ini.
Fatimah ketika ditemui pemberita hari ini.

KUCHING: Cadangan pindaan Perkara 16 Perlembagaan Sarawak agar hanya warga Sarawak dibenarkan bertanding pada pilihan raya negeri dilihat munasabah dengan mengambil kira kepentingan melindungi negeri ini daripada pengaruh negatif dari luar.

Ketua Wanita Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dato Sri Fatimah Abdullah berkata perubahan-perubahan semasa, khususnya dalam politik, pindaan Perkara 16 Perlembagaan Sarawak dilihat perlu.

"Sebelum ini memang orang Sarawak sendiri akan bertanding (pada pilihan raya negeri). Kalau dari segi pemilihan calon biasanya dari tempat itu sendiri, maknanya orang tempatan kerana beliau lebih faham tentang kawasan itu, keperluan-keperluannya dengan harapan dapat memberi perkhidmatan terbaik apabila dipilih kelak.

"Ini diterima dari dahulu lagi (di Sarawak), tanpa perlembagaan pun itu sememangnya antara kriteria penting pemilihan calon tetapi masa berubah, keadaan berubah, tuntutan berubah maka pindaan Perkara 16 Perlembagaan Sarawak suatu yang munasabah," ujarnya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke tapak Taska Qaseh Laila di Jalan Bampfylde di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Idris Buang pada Rabu mengesyorkan Perkara 16 Perlembagaan Sarawak dipinda supaya tidak membenarkan bukan warga Sarawak bertanding pada pilihan raya negeri.

Fatimah yang juga Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak berkata pemilihan calon daripada kalangan penduduk tempatan tidak pernah menjadi isu sehingga timbulnya kes membabitkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Dr Ting Tiong Choon disebabkan isu kewarganegaraannya.

Dr Ting hilang kelayakan sebagai ADUN Pujut berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada 11 Februari 2020 membenarkan DUN pada 2017 melucutkan keahliannya dalam Dewan.

"Beliau (Dr Ting) adalah orang tempatan tetapi telah berpindah ke Australia dan mendapat kewarganegaraan di sana, berharap orang tidak tahu, tapi pandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga...Rentetan itu ada cadangan pemilihan calon pada pilihan raya negeri terbuka.

" Oleh sebab itu Datuk Idris mengesyorkan Perkara 16 Perlembagaan Sarawak dipinda bagi melindungi Sarawak tetapi kita pasti penduduk di kawasan sentimennya selalu mahu orang Sarawak atau tempatan sebagai calon.

"Apa pun, yang membuat keputusan, penduduk atau pengundi itu sendri, 'kami mahukan kamu atau kami tidak mahukan kamu'," tambahnya.

Idris menerusi kenyataan medianya berkata cadangan tersebut bukan bermaksud takut kepada mana-mana orang luar Sarawak untuk bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri dan ia dirasakan wajar dilakukan agar selaras dengan trend semasa politik Sarawak.

"Sebaliknya apa yang penting adalah kita melindungi Sarawak dari 'virus' budaya politik yang buruk dan tidak menyenangkan kerana mungkin mempengaruhi semua," katanya.

Beliau mengulas mengenai pemerhatian daripada komen dalam media sosial oleh warganet yang mencadangkan mana-mana warganegara Malaysia sama ada individu itu berasal dari luar Sarawak, sepatutnya dibenarkan bertanding.

Idris berkata, di bawah Perkara 16 Perlembagaan Sarawak menyatakan:

"Setiap warganegara berusia atau lebih 21 tahun pemastautin di Negeri adalah layak untuk dipilih sebagai ahli Dewan Undangan Negeri, melainkan jika dia dibatalkan kelayakan menjadi ahli oleh Perlembagaan Persekutuan atau Perlembagaan ini atau oleh mana-mana undang-undang seperti yang disebut dalam Perkara 17."

Menurut beliau, terdapat pelbagai makna 'pemastautin' yang boleh didapati dalam beberapa kamus Inggeris dan kamus perundangan, tetapi tiada masa minimum atau masa tertentu untuk tempoh tinggal atau seseorang pemastautin. 

"Dapat dilihat definisi 'pemastautin' di bawah Perkara 16 Perlembagaan Sarawak kita sekarang agak longgar dari segi pengertian kerana ia mungkin termasuk mereka yang pernah tinggal di negeri ini walaupun dalam masa singkat sama ada sebulan atau setahun.

"Saya dengan rendah diri menggesa kepada pemimpin kerajaan di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) agar mempertimbangkan pindaan rang undang-undang ini pada persidangan Dewan Undangan Negeri seterusnya," tegas beliau.


 

  • oleh
  • Advertisement