Anda di sini

Syor agar calon pilihan raya negeri cuma dari kalangan warga Sarawak

Advertisement
IDRIS
IDRIS


KUCHING: Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Idris Buang mengesyorkan Perkara 16 Perlembagaan Sarawak dipinda supaya tidak membenarkan bukan warga Sarawak bertanding pada pilihan raya negeri.

Menurutnya, cadangan tersebut bukan bermaksud takut kepada mana-mana orang luar Sarawak untuk bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri dan ia dirasakan wajar dilakukan agar selaras dengan trend semasa politik Sarawak.

"Sebaliknya apa yang penting adalah kita melindungi Sarawak dari 'virus' budaya politik yang buruk dan tidak menyenangkan kerana mungkin mempengaruhi semua," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas mengenai pemerhatian daripada komen dalam media sosial oleh warganet yang mencadangkan mana-mana warganegara Malaysia sama ada individu itu berasal dari luar Sarawak, sepatutnya dibenarkan bertanding.

Idris berkata, di bawah Perkara 16 Perlembagaan Sarawak menyatakan:

"Setiap warganegara berusia atau lebih 21 tahun pemastautin di Negeri adalah layak untuk dipilih sebagai ahli Dewan Undangan Negeri, melainkan jika dia dibatalkan kelayakan menjadi ahli oleh Perlembagaan Persekutuan atau Perlembagaan ini atau oleh mana-mana undang-undang seperti yang disebut dalam Perkara 17."

Menurut beliau, terdapat pelbagai makna 'pemastautin' yang boleh didapati dalam beberapa kamus Inggeris dan kamus perundangan, tetapi tiada masa minimum atau masa tertentu untuk tempoh tinggal atau seseorang pemastautin.

"Dapat dilihat definisi 'pemastautin' di bawah Perkara 16 Perlembagaan Sarawak kita sekarang agak longgar dari segi pengertian kerana ia mungkin termasuk mereka yang pernah tinggal di negeri ini walaupun dalam masa singkat sama ada sebulan atau setahun.

"Saya dengan rendah diri menggesa kepada pemimpin kerajaan di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) agar mempertimbangkan pindaan rang undang-undang ini pada persidangan Dewan Undangan Negeri seterusnya," tegas beliau.

Advertisement