Anda di sini

`Sabah selamat, jangan batalkan program'

Advertisement
ALEXANDER
ALEXANDER

... Kerjasama kerajaan dan swasta bantu industri pelancongan negeri ini

SANDAKAN: Presiden Persatuan Pengusaha Pelancongan Koridor Kehidupan Kinabatangan (KiTA) Alexander Yee mengesa pihak kerajaan serta organisasi besar swasta di dalam negara ini agar meneruskan program serta aktiviti yang dirancang Sabah bukannya membatalkannya.

Beliau berkata penularan wabak COVID-19 memberi impak besar kepada pemain industri pelancongan di seluruh negara termasuk di Sabah.

"Pihak kerajaan  dan swasta perlu bekerjasama untuk membangunkan industri pelancongan di Sabah, bukannya turut sama membatalkan program atau acara yang telah dirancang di negeri ini akibat wabak berkenaan," katanya.

Alexander menjelaskan pembatalan acara serta program terbabit akan lebih menjejaskan pemain industri pelancongan di Sabah.

"Kita perlu faham bahawa untuk Sabah, kerajaan negeri telah mengambil langkah proaktif untuk menghentikan kemasukan semua penerbangan langsung dari China pada akhir bulan Januari, dan langkah penting ini telah menghasilkan 'tidak ada pengesahan' jangkitan di Sabah.

"Oleh itu, negeri Sabah adalah selamat untuk pelancong tempatan di negara ini melancong Ke Sabah," katanya.

Beliau meminta pihak kerajaan dan organisasi besar di dalam negara ini agar tidak membatalkan sebarang program atau acara yang dirancang di Sabah sebagai langkah membantu pemain industri pelancongan di negeri ini.

Bagi pemain industri pelancongan di negeri ini, Alexander menyarankan terdapat dua acara untuk menarik pelancong tempatan datang itu meningkatkan promosi dan mengurangkan kos harga bilik atau penginapan.

"Apa yang berlaku kini bukan sahaja pelancong asing terutamanya dari China membatalkan tempahan mereka tetapi organisasi besar dan pihak kerajaan pun ada membatalkan program atau acara yang mereka rancang sebelum ini.

"Industri pelancongan merangkumi pelbagai sektor antaranya pengangkutan, perhotelan agensi pelancongan, restoran termasuk pusat perniagaan akan terjejas," katanya.

Beliau berkata apabila pengunjung kurang maka pendapatan akan jatuh menyebabkan banyak masalah lain yang akan timbul seperti bayaran balik pinjaman kepada pemain industri pelancongan yang mempunyai pinjaman.

Sejak ketibaan pelancong China menurun, Alexander berkata syarikat-syarikat perlu mengurangkan kos untuk terus beroperasi dengan mencuba untuk memasuki pasaran pelancong tempatan.

"Ini bukanlah perkara yang mudah kerana sudah wujud pemain industri pelancongan tempatan yang kompetetif. Tetapi adalah lebih baik untuk mengekalkan pengurangan kos bagi terus kekal daripada tutup,” tegasnya.

  • oleh
  • Advertisement