Anda di sini

67 pemain dan penganjur sukan ekstrem gelsoft ditahan

Advertisement
 Zaini menyempurnakan majlis penyerahan kenderaan kepada pegawainya di IPK Sabah.
SERAH: Zaini menyempurnakan majlis penyerahan kenderaan kepada pegawainya di IPK Sabah.

70 laras gel blaster, 128 magazine gelsoft dirampas

KOTA KINABALU: Polis merampas 70 laras gel blaster pelbagai jenis, 128 unit magazine gelsoft dan menahan seorang penganjur serta 67 pemain dalam satu operasi di tapak tempur sukan ekstrim gelsoft di Penampang baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata penangkapan pada jam 3 petang 16 Februari lalu itu dilaksanakan sepasukan polis dari Bahagian Perlesenan Bukit Aman, Jabatan Siasatan Jenayah serta Cawangan Persenjataan IPK Sabah dan IPD Penampang.

"Siasatan awal mendapati pihak penganjur dan pemain menyalahi undang-undang dengan mengadakan permainan ini tanpa mendapatkan kebenaran dan tidak memaklumkan secara rasmi kepada pihak polis atau pihak berkuasa terlebih dahulu.

"Pemilikan terhadap 70 laras gel blaster termasuk 62 laras jenis rifle, enam sub mesingan serta dua laras jenis M4 adalah haram berikutan senjata ini hanya boleh dimiliki oleh sesebuah persatuan yang berdaftar," katanya.

Tambahnya tapak tempur sukan ekstrem gelsoft yang digunakan oleh mereka juga belum diluluskan dan masih dalam proses kelulusan daripada pihak tertentu sebelum ianya boleh digunakan untuk aktiviti terbabit.

Zaini berkata kesemua senjata gel blaster yang dirampas dipercayai diperolehi melalui pembelian secara talian bernilai RM200 hingga RM500 bagi setiap laras.

"Kesemua nilai rampasan hari ini membabitkan anggaran keseluruhan sebanyak RM21,000 dan kesemua pemain serta penganjur berumur 21 hingga 36 tahun itu sudah dibebaskan selepas proses dokumentasi diselesaikan," katanya.

 Sebahagian gel blaster dan peluru gelsoft yang dirampas daripada 67 pemain di tapak tempur sukan ekstrem gelsoft di Penampang baru-baru ini.
RAMPASAN: Sebahagian gel blaster dan peluru gelsoft yang dirampas daripada 67 pemain di tapak tempur sukan ekstrem gelsoft di Penampang baru-baru ini.

Menurutnya secara khusus, pemilikan komponen gel blaster ini dikategorikan sebagai senjata tiruan dan pemilik boleh disiasat serta dituduh mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

"Kesemua pemain yang ditahan mendakwa tidak mengetahui memiliki senjata ini secara individu adalah melanggar undang-undang dan mendakwa mereka tidak akan memilikinya jika mengetahui perkara ini adalah salah di sisi undang-undang.

"Kita memang menyokong serta menggalakkan permainan ekstrem ini tetapi pemain hendaklah arif berkenaan isu perundangan berkaitan sebelum membabitkan diri dalam sukan ini bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media di IPK Sabah hari ini.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan Kontinjen Sabah berjaya menerima perolehan sebanyak 36 kenderaan baharu bagi menggantikan kenderaan lama dan sedia ada.

 Zaini dan pegawainya menunjukkan rampasan gel blaster dan gelsoft yang dirampas semasa sidang media di IPK.
SIDANG MEDIA: Zaini dan pegawainya menunjukkan rampasan gel blaster dan gelsoft yang dirampas semasa sidang media di IPK.

"21 kenderaan pacuan empat roda adalah perolehan gantian mengikut RMK-11 Rolling Plan ke empat dengan nilai perolehan RM152,500, manakala sembilan yang lain bernilai RM139,029.35 setiap satu.

"Enam lagi kenderaan jenis lori adalah mengikut RMK-11 Rolling Plan ketiga dengan nilai perolehan sebuah kenderaan RM165,000 dengan nilai perolehan keseluruhan 36 buah kenderaan mencecah RM5,443 764.15," katanya.

  • oleh
  • Advertisement