Anda di sini

Wanita tetak ibu sendiri disahkan hidapi skizofrenia

Advertisement
 

KUCHING: Mahkamah Sesyen hari ini mengarahkan seorang wanita 20 tahun yang menetak ibu kandungnya untuk dihantar ke Hospital Sentosa buat sementara waktu selepas disahkan menghidap skizofrenia kronik. 

Laporan psikiatri seterusnya menunjukkan tertuduh tidak waras dan tidak layak untuk dibicarakan di mahkamah. 

Hakim Mahkamah Sesyen, Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad pada hari ini telah mengarahkan agar kes dilaporkan kepada Tuan Yang Terutama (TYT) supaya tertuduh dimasukkan ke Hospital Sentosa, mengikut Seksyen 344 Kanun Prosedur Jenayah. 

Sementara itu, tertuduh diarahkan untuk tinggal di Hospital Sentosa sehingga tarikh sebutan kes berikutnya iaitu pada 17 Mac depan. 

Hal ini demi menjaga keselamatan semua pihak terutamanya mangsa yang merupakan ibu tertuduh selain mengambil kira faktor kesalahan yang dilakukan tertuduh tidak membolehkannya untuk diikat jamin. 

"Tertuduh juga dibenarkan untuk menghadiri acara gereja pada setiap malam Sabtu dan Ahad sambil ditemani ibu bapanya," ujar Hakim Dayang dalam satu prosiding mahkamah hari ini. 

Wanita berkenaan dikatakan menetak ibunya sehingga menyebabkan kecederaan parah dalam satu insiden di Taman Sentah, Batu 18 Jalan Kuching-Serian pada 6 November tahun lalu. 

Justeru pada November tahun lalu, Mahkamah Majistret mengarahkan agar dia dihantar ke Hospital Sentosa untuk pemerhatian selama beberapa bulan.

Pada 14 Februari lalu, pertuduhan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca terhadap tertuduh, namun tiada pengakuan direkodkan.

Menurut laporan terdahulu, selepas menetak ibunya sekitar jam 8 pagi, 6 November tahun lalu, tertuduh melarikan diri meninggalkan ibu kandungnya berlumuran darah.

Hanya mangsa berusia 49 tahun dan suspek sahaja berada di rumah semasa kejadian berlaku.

Polis kemudian menangkap tertuduh pada jam lebih kurang 6.30 petang di hadapan sebuah pusat beli belah di Jalan Datuk Tawi Sli. 

Tertuduh dipercayai menggunakan sejenis pisau pemotong daging untuk menetak mangsa sehingga menyebabkan kecederaan dan luka yang dalam di bahagian paha dan perut.

Tertuduh diwakili peguam, Wong King Wei manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ruthra Raj. 

  • oleh
  • Advertisement