Anda di sini

Tiada kes disahkan COVID-19 di Hospital Miri - Dr Chin

Advertisement
Gambar fail
Gambar fail

KUCHING: Tiada kes disahkan positif COVID-19 di Hospital Miri, Sarawak, setakat 16 Februari 2020.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak, Dr Chin Zin Hing berkata, hospital itu menerima sebanyak 16 kes pesakit yang disyaki (PUI) COVID-19 melibatkan seramai 14 warganegara Malaysia, dan masing-masing seorang warganegara China dan warganegara Kanada. 

“Daripada jumlah itu, seramai 14 kes PUI telah didapati negatif ujian makmal manakala dua orang lagi masih menunggu keputusan. 

“Seramai 10 kes PUI telah dibenarkan pulang (discaj) setelah didapati sihat dan ujian makmal bagi ujian kali kedua juga didapati negatif,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Bagaimanapun, katanya, orang ramai dinasihati agar mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi.

“Antaranya ialah menutup mulut dan hidung menggunakan tisu apabila batuk atau bersin dan kemudian cuci tangan dengan sabun dan air atau bahan pencuci tanganselepas batuk atau bersin, sentiasa amalkan adab batuk yang baik dan jaga kebersihan diri sepanjang masa,” katanya.

Dalam pada itu, JKN Sarawak turut mengingatkan orang ramai agar segera mendapatkan rawatan sekiranya demam atau mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk atau kesukaran untuk bernafas dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari lawatan ke China. 

“Maklumkan sejarah perjalanan berkenaan kepada doktor yang merawat," katanya.

Dr Chin turut mengingatkan semua pengamal perubatan, sama ada dari fasiliti kerajaan atau swasta, agar segera melaporkan kes-kes disyaki COVID-19 kepada Pejabat Kesihatan Bahagian atau Daerah terdekat, atau kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC), Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak.

Mereka boleh dihubungi di talian telefon 082-443248 atau melalui alamat e-mel: [email protected].
 

Advertisement