Anda di sini

Persefahaman, perpaduan perlu diperkasa

Advertisement
 Tun Mahathir menyempurnakan gimik perasmian MTHQK Tahun 1441H/2020M.
RASMI: Tun Mahathir menyempurnakan gimik perasmian MTHQK Tahun 1441H/2020M.

KOTA KINABALU: Bagi menjamin kelestarian dan keharmonian hidup, persefahaman dan perpaduan perlu diperkasa demi kepentingan bersama.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, konsep ta'aruf dalam kemajmukan iaitu sentiasa mengikis prasangka dan salah faham serta saling menerima, mampu mencerna masyarakat bernegara yang bersatu padu.

"Oleh itu, kita menyeru agar masyarakat kita dapat mencari titik persamaan dan mengecilkan perbezaan.  

"Sekiranya sensitiviti itu berjaya diurus dengan pertimbangan toleransi dan penerimaan sepenuhnya, maka ia mampu memperkukuhkan perpaduan sedia ada sehingga mampu digembleng menjadi kekuatan dan nadi transformasi sebuah negeri dan negara.

"Teras utama kepada kejayaan umat Islam sebagai model terbaik kehidupan bermasyarakat ialah mempromosi dan melaksana prinsip penerimaan, kenegaraan dan keadilan sosial sehingga berupaya menyusun serta mengatur landskap kehidupan yakni perpaduan dalam kepelbagaian," katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1441H/2020M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini malam kelmarin.

Dalam pada itu, Shafie turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan kerana memberi peluang kepada Sabah untuk menjadi penganjur bersama MTHQK pada tahun ini.

"Pihak kerajaan negeri juga turut bersedia serta mengalu-alukan lagi penganjuran Majlis Tilawah Dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa seperti ini pada tahun-tahun yang mendatang.

"Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang hadir dan semoga dengan berlangsungnya majlis yang mulia ini akan menjadikan negara ini 'Negara Rahmah Ummah Sejahtera’ seiring dengan tema Majlis Tilawah Dan Menghafaz Al Quran Peringkat Kebangsaan pada tahun ini," katanya.

Perasmian MTHQK disempurnakan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di sini, malam kelmarin, dan turut dihadiri isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew, Menteri Undang-Undang dan Anak Negeri Datuk Aidi Moktar, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong dan Setiausaha Kerajaan Persekutuan Datuk Samsuni Mohd Nor. - Penerangan

Advertisement